ISMAIL (dua dari kiri), Shahril (kiri) dan Lou (kanan) pada majlis menandatangani memorandum persefahaman.
Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri
dayana@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Prasarana Malaysia Bhd akan menggantikan kumpulan tren enam gerabak yang kini beroperasi bagi LRT RapidKL (LRT) Laluan Ampang dengan tren baru tahun depan bagi meningkatkan perkhidmatannya.

Sebanyak 50 tren enam gerabak atau kenderaan rel ringan (LRV) berharga RM990 juta diperoleh daripada pengeluar tren China CSR Zuzhou Electric Locomotive Co Ltd (CSR ZELC).

LRV itu dijadual dan diserahkan mulai Disember dan dijangka beroperasi secara berperingkat mulai Oktober 2015.

Pengerusi Prasarana, Tan Sri Ismail Adam berkata, tren baru itu dilengkapi ciri keselamatan yang dipertingkatkan termasuk televisyen litar tertutup, tingkap kecemasan, kipas pengudaraan kecemasan, peranti pengesan asap dan kebakaran serta sistem pemantauan automatik operasi tren.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Shahril Mokhtar dan Timbalan Ketua Pengarah CSR ZELC, Lou Chongfu untuk membekalkan LRV terbabit bagi Laluan Ampang, baru-baru ini.

Tren berkenaan yang turut dilengkapi paparan destinasi interaktif dalam tren, tempat duduk tidak menggelongsor, LCD hiburan berinformasi dan ruang kerusi roda yang lebih luas menyediakan pengalaman perjalanan yang lebih menarik untuk pengguna.

Purata penumpang kini mencecah 180,000 orang sehari.

Operasi RapidKL LRT Laluan Ampang yang dimulakan pada 1996 dikenali sebagai perkhidmatan STAR-LRT sebelum diambil alih oleh Prasarana pada 2002 bersama-sama perkhidmatan PUTRA-LRT yang dijenamakan semula sebagai RapidKL LRT Kelana Jaya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Oktober 2014 @ 5:07 AM