Oleh Salmiah Salleh

Isu penderaan dan pengabaian terhadap kanak-kanak oleh ibu bapa atau penjaga bukanlah sesuatu yang baru. Satu demi satu kes penderaan dipaparkan bukan saja di negara kita malah di seluruh dunia. Paling mengejutkan, kes pasangan rakyat negara kita yang ditahan dan diambil tindakan di Sweden kerana merotan anak.

Bermula dari sini, kerajaan mengorak langkah untuk mengikut jejak langkah Konvensyen Hak Kanak-kanak negara-negara bersekutu bagi menangani isu ini. Ini termasuk penguatkuasaan undang-undang agar merotan dijadikan satu kesalahan.

Namun, pengubalan undang-undang seumpama itu perlu diteliti secara rasional agar tidak menimbulkan kesan buruk nanti. Kita tidak mahu mengambil jalan mudah, asal pukul atau rotan saja dikira bersalah dan perlu dihukum. Dari sudut Islam, agama membenarkan ibu bapa atau penjaga merotan anaknya bagi tujuan mendidik tetapi bukan mendera atau menganiaya anak-anak.

Penulis merasakan maksud dan makna yang jelas perlu ditekan ialah memahami pukulan atau rotan bagaimana yang dikatakan penderaan dan pukulan atau rotan bagaimana dibenarkan bagi tujuan mendidik.

Jika rotan sebagai penderaan, penulis percaya masyarakat akan menyokong peruntukan undang-undang tegas dan hukuman setimpal.

Walaupun Islam membenarkan ibu bapa memukul atau merotan anak bagi tujuan pendidikan, ia bukan kaedah pertama yang mesti dan perlu digunakan bagi mendidik anak. Rotan hanya dibenarkan sebagai kaedah terakhir dalam pendidikan selepas pelbagai kaedah atau pendekatan lain diambil.

Seperkara lagi, jika benar ada yang perlu dirotan, persoalannya di usia berapa dan bagaimana untuk merotan bagi tujuan pendidikan perlu diperkemaskan agar penggunaannya membuahkan hasil berkesan.

Persoalan apakah ciri-ciri dan bentuk alat yang boleh digunakan untuk merotan. Ini penting agar tindakan ibu bapa ini tidak mencederakan dan memudaratkan anak sebaliknya tujuan pendidikan terhasil. Oleh itu peralatan yang keras dan tajam tidak dibenarkan untuk merotan.

Saiz peralatan juga perlu diperjelaskan. Persoalan bahagian tubuh mana boleh dirotan juga hendaklah diambil kira. Bahagian muka dan kepala sama sekali tidak dibenarkan. Bagaimana cara merotan hendaklah diambil perhatian dan diperincikan.

Tahap tenaga dan kekuatan perlu diberi perhatian serius. Memukul dalam keadaan marah dan emosi perlu dielak dan dilarang kerana boleh melampaui tahap kekuatan yang sepatutnya untuk mendidik. Selain itu, kekerapan pukulan perlu mengikut kesalahan pertama dan berikutnya.

Pukulan yang bertubi-tubi dalam keadaan marah dan beremosi disertai pula dengan sepak terajang tanpa belas ihsan bukanlah dibenarkan agama.

Didikan pasca rotan perlu diberikan. Proses didikan berhemah dan penjelasan kepada anak mengenai jenis kesalahan perlu diberikan. Ini bagi memberi kefahaman mengapa mereka dirotan dan memastikan ia tidak berulang. Ini bagi mengelak rasa marah dan dendam dalam diri anak kepada ibu bapa.

Jika memukul atau merotan anak secara melampau tanpa mengikut peraturan, amat wajar ibu bapa dianggap melakukan kesalahan serta diberikan hSukuman setimpal kerana mereka cuai dalam mendidik anak.

Penulis pensyarah undang - undang Universiti Teknologi MARA kampus Melaka.

Warga kampus yang berminat menulis dan mempunyai pandangan mengenai isu semasa, sila e-mel kepada lann@hmetro atau ruhaizarusmin@mediaprima.com.my atau rencana@mediaprima.com.my

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2015 @ 5:01 AM