(DARI kiri) Alessandro Petacchi dari pasukan Southheast, Guardini, Ewan dan Anuar sedia beri saingan sengit.

Langkawi: Edisi ke-20 Le Tour de Langkawi (LTdL) akan membuka tirai hari ini dengan tumpuan bukan saja terarah kepada persaingan perlumbaan di kalangan pelumba namun aspek penganjuran yang kembali ke tangan pihak swasta.

Selepas beberapa tahun dikendalikan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN), LTdL kembali diterajui penganjur swasta Human Voyage Sdn Bhd sekali gus menjadikan perlumbaan kali ini sebagai penanda aras.

Dalam aspek senarai pasukan yang bertanding, penganjur perlumbaan dilihat berjaya menyenaraikan sejumlah pasukan terhebat dunia untuk memeriahkan edisi ke-20 itu.

Hadirnya pasukan terkemuka dunia, Team Sky buat kali pertama membuktikan kesungguhan penganjur membuktikan kemampuan selain turut membariskan tiga lagi pasukan Pro Tour lain iaitu Astana, Orica-GreenEdge dan Tinkoff-Saxo.

Peminat pastinya teruja untuk menyaksikan saingan beberapa pelumba handalan dunia seperti pelumba pecut Astana Andrea Guardini yang memegang rekod kemenangan 14 peringkat di LTdL.

Pelumba kelahiran Itali berkenaan memburu rekod meraih gelaran Raja Pecut buat kali ketiga dalam sejarah LTdL selepas 2011 dan 2012.

Namun ia tidak mudah buat Guardini apabila dia dijangka berdepan tentangan sengit terutamanya pelumba muda dari Orica-GreenEdge Caleb Ewan dan Jakub Mareczko (Southeast Pro Cycling Team).

Saingan dalam kalangan pelumba pendaki adalah John Ebsen (Androni-Venezuela), Merhawi Kudus (MTN-Qhubeka), Sebastian Henao (Team Sky) dan ramai lagi.

Bagaimanapun, tumpuan peminat tempatan pastinya terarah kepada tiga pasukan tempatan - Terengganu Cycling Team (TSG), Majlis Sukan Negara (MSN) Cycling Team dan skuad kebangsaan - untuk melakar sesuatu kali ini.

Nama seperti Mohd Harrif Salleh dan Anuar Manan pastinya meniti di bibir peminat untuk menyaksikan sekurang-kurangnya kejayaan podium mampu dilakar.

Namun dalam aspek penganjuran iaitu sejauh mana kelancaran kejohanan selepas lapan peringkat perlumbaan akan menjadi detik penentu sama ada tindakan KBS yang turut memberikan geran sebanyak RM10 juta untuk kembali dianjurkan pihak swasta adalah tindakan tepat atau sebaliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2015 @ 5:06 AM
Skip this ad x