PENGGUNAAN peranti audio peribadi melebihi had masa dan tahap bunyi selamat menyumbang kepada masalah kehilangan pendengaran.
KERAP lakukan pemeriksaan telinga bagi mengesan kelainan yang boleh menjejaskan pendengaran.
Oleh Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


Telinga bukan saja sebagai deria pendengaran manusia dan haiwan vertebrata, malah organ ini juga menjaga keseimbangan tubuh. Struktur telinga sangat lembut dan sensitif serta mudah rosak jika terdedah kepada bunyi kuat yang melebihi desibel (dB) selamat, menyebabkan seseorang boleh kehilangan pendengaran manakala keseimbangan juga terganggu.

Struktur telinga membabitkan tiga bahagian iaitu telinga luar membabitkan pina dan salur telinga, telinga dalam membabitkan tiga tulang osikel iaitu tukul, andas dan rakap, serta telinga dalam membabitkan koklea dan salur separuh bulat.

Namun, bahagian telinga berkenaan boleh rosak disebabkan pelbagai punca seperti kecederaan, jangkitan telinga kronik, kesan sampingan ubat tertentu yang boleh mencederakan telinga, penyakit berjangkit tertentu, masalah genetik, komplikasi kelahiran dan penuaan.

Kehilangan pendengaran memberi kesan buruk kepada kesihatan fizikal dan mental, pendidikan dan kerjaya kerana tanpa pendengaran, seseorang tidak dapat berkomunikasi dan berinteraksi.

Justeru telinga perlu dijaga dan dilindungi sebaik-baiknya supaya organ ini sihat dan berfungsi de­ngan baik.

Bagaimanapun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan kira-kira 1.1 bilion remaja dan belia berisiko kehilangan pendengaran disebabkan penggunaan peranti audio peribadi yang tidak selamat seperti telefon pintar, selain terdedah kepada tahap kerosakan bunyi di tempat bising.

Dalam kenyataan media dikeluarkan WHO sempena Hari Penjagaan Telinga Antarabangsa baru-baru ini, tinjauan dilakukan pertubuhan berkenaan di negara berpendapatan pertengahan dan tinggi menunjukkan, kira-kira 50 peratus remaja dan belia berusia antara 12 hingga 35 tahun terdedah kepada tahap bunyi yang tidak selamat berikutan penggunaan peranti audio peribadi, manakala 40 peratus pula terdedah di tempat hiburan awam.

Tahap bunyi yang tidak selamat apabila seseorang terdedah kepada bunyi berlebihan daripada tahap pendedahan pendengaran yang selamat iaitu 85 dB untuk tempoh lapan jam sehari atau 100 dB untuk 15 minit. Pende­ngaran yang selamat pula bergantung kepada intensiti atau kenyaringan bunyi, durasi dan frekuensi mendengar.

Pendedahan kepada bunyi yang sangat bising boleh menyebabkan kehilangan pendengaran sementara atau mengalami tinnitus iaitu penyakit telinga berdengung. Apabila pendedahan itu sangat bising dan berpanjangan, ia boleh menyebabkan kerosakan kekal pada sel saraf dan menjadi pekak.

Pengarah Jabatan Pengurusan Penyakit Tidak Berjangkit, Ketidakupayaan, Keganasan dan Pencegahan Kecederaan WHO, Dr Etienne Krug berkata, remaja dan belia meletakkan diri mereka kepada risiko kehilangan pendengaran akibat penggunaan peranti audio menerusi aktiviti harian.

“Mereka sepatutnya berwaspada menggunakan alatan berkenaan pada tahap selamat kerana kehilangan pendengaran tidak boleh dipulihkan seperti sediakala.

“Hanya dengan mengambil langkah mencegah yang ringkas membolehkan mereka meneruskan kehidupan seperti biasa tanpa perlu meletakkan diri kepada risiko terbabit,” katanya.

WHO mengesyorkan, remaja dan belia yang berisiko itu wajar melindungi pendengaran mereka dengan merendahkan bunyi pada peranti audio peribadi serta memakai alat perlindungan telinga apabila mengunjungi premis yang bising atau memakai fon telinga dan fon kepala.

Mereka juga disyorkan supaya membataskan masa berada atau melakukan aktiviti di premis yang bising dengan sekali-sekala jauh dari sumber bising itu, selain mengehadkan penggunaan peranti audio peribadi harian kepada kurang sejam. Pada masa sama, perhatikan tanda kehilangan pendengaran dan dapatkan pemeriksaan telinga secara berkala.

Malah, kerajaan wajar memainkan peranan dengan meningkatkan kesedaran terhadap risiko kehilangan pendengaran menerusi kempen awam atau mengetatkan penguatkuasaan terhadap premis yang terlalu bising. Ibu bapa, guru dan pakar juga boleh mendidik generasi muda mengenai pendengaran yang selamat.

Sempena Hari Penjagaan Telinga Antarabangsa yang disambut setiap tahun pada 3 Mac, WHO melancarkan inisiatif bertemakan Mendengar Dengan Selamat bagi menarik kesedaran awam mengenai bahaya mende­ngar dengan tidak selamat, di samping menggalakkan orang awam mengamalkan kaedah mendengar yang tidak menjejaskan kesihatan berikutan separuh daripada kes kehilangan pendengaran sebenarnya boleh dielakkan.

Pertubuhan berkenaan juga mengumpul data dan maklumat mengenai kehilangan pendengaran dari segi pesakit, akibat dan impak yang boleh digunakan sebagai lang­kah pencegahan dan pengurusan, membantu negara membangun dan melaksanakan program untuk penjagaan pendengaran yang akan diintegrasikan dengan sistem penjagaan kesihatan perdana, selain membekalkan sumber teknikal bagi melatih pekerja kesihatan.

Sementara itu, Perunding Telinga, Hidung, Tekak (ENT) dan Pakar Bedah Kepala dan Leher Pusat Perubatan Sunway (SunMed), Dr Shailendra Sivalingam berkata, penyakit telinga yang biasa dialami adalah jangkitan kronik pada rongga telinga tengah atau dikenali otitis media yang menyebabkan telinga berair, sakit dan kurang pendengaran.

Jangkitan otitis media berpunca daripada kuman memasuki telinga tengah menerusi tiub eustachio yang selalunya bermula apabila wujud jangkitan kuman pada saluran pernafasan atas.

Kuman juga memasuki bahagian berkenaan menerusi lubang telinga selepas mandi dengan air yang tercemar atau berenang di kolam mandi atau air laut.

Otitis media menjadi kronik apabila jangkitan tidak pulih melebihi tiga minggu. Malah, kuman ini boleh tinggal dalam bahagian yang terjejas dan tidur ketika telinga kering sebelum aktif semula jika wujud cecair atau lelehan pada telinga tengah.

Pesakit akan menyedari pendengaran mereka bermasalah apabila wujud lelehan telinga yang menunjukkan ketakselanjaran bahagian osikel akibat cecair mukopus atau polip iaitu ketumbuhan.

“Otitis media harus diberi rawatan sewajarnya kerana ia boleh menjejaskan pendengaran dan asas rawatan adalah menjaga telinga supaya sentiasa kering, mencegah jangkitan semula dan mengurangkan masalah kehilangan pendengaran akibat jangkitan.

“Biasanya doktor akan memberi ubat titis antibiotik, membasmi penyakit lain yang menyumbang kepada jangkitan telinga dan mencegah air daripada memasuki lubang telinga ketika mandi,” katanya.

Menurutnya, otitis media boleh menyebabkan komplikasi lebih serius seperti mendapat cholesteatoma iaitu sel kulit yang abnormal tumbuh dalam telinga tengah di belakang gegendang telinga. Sel kulit tidak normal ini biasanya tumbuh sebagai sista atau kantung pada lapisan kulit lama.

Ketumbuhan itu boleh membesar dan menjejaskan sekeliling tulang lembut telinga tengah, me­nyebabkan kehilangan pendengaran dan hanya boleh dirawat menerusi pembedahan.

Bagaimanapun, ketumbuhan yang semakin membesar boleh menyebabkan pesakit pekak yang kekal, pening dan kelumpuhan otot muka.

Komplikasi lain akibat jangkitan telinga yang kronik ini seperti otak bernanah apabila nanah terkumpul di pangkal tengkorak atau otak menyebabkan sakit kepala, pening, kebingungan, tidak sedar diri atau kelumpuhan.

Jangkitan pada organ keseimbangan dan pendengaran iaitu Laby­rinthitis yang menyebabkan loya, muntah, pening dan pekak.

Tulang mastoid yang terletak belakang telinga luar dan membabitkan sel berongga yang mengalirkan udara dari telinga tengah juga akan bernanah serta menyebabkan bengkak dan kesakitan.

Kementerian Kesihatan juga menggalakkan ibu bapa menjalankan ujian saringan pendengaran terhadap bayi mereka yang baru dilahirkan kerana jika bayi dikesan mempunyai masalah pendengaran, pengurusan untuk menentukan tahap masalah dialami dan program habilitasi dapat dilakukan seawal mungkin.

Ada dua jenis saringan pendengaran bayi iaitu saringan pendengaran bayi universal yang dilakukan ke atas semua bayi baru lahir dan saringan pendengaran bayi berisiko tinggi dan dilakukan ke atas bayi yang lahir dengan komplikasi seperti sejarah ahli keluarga yang mempunyai masalah pendengaran kekal.

Komplikasi lain apabila bayi menghidap demam kuning, jang­kitan kongenital (toxoplasmosis, rubella, cytomegalovirus, herpes), kecacatan pada muka (craniofacial anomalies), keabnomalan morfologi pada cuping telinga dan salur telinga, berat badan bayi ketika lahir kurang daripada 1.5 kilogram atau mendapat jangkitan selepas kelahiran.

Dua jenis ujian bagi mengesan masalah pendengaran bayi iaitu ujian pancaran otoakustik (OAE) yang dapat mengesan sebarang kerosakan pada organ pende­ngaran. Prob telinga yang sesuai dengan saiz lubang telinga bayi akan dimasukkan ke dalam salur telinga bayi.

Prob yang disambungkan de­ngan mesin penguji akan me­ngeluarkan bunyi yang perlahan serta tidak menyakitkan dan organ pendengaran bayi akan memberi tindak balas pada bu­nyi itu.

Ujian untuk menguji fungsi organ dan saraf pendengaran (AABR) pula dilakukan dengan tulang mastoid kedua-dua belah telinga dan dahi bayi akan disapu dengan gel pembersih meng­gunakan kain kasa dan bahagian yang disapu tadi akan dilekatkan dengan elektrod.

Bunyi akan disalurkan melalui fon telinga dan elektrod yang disambungkan antara bahagian telinga dan dahi bayi serta mesin penguji akan mengesan gelombang otak bayi sebagai respons terhadap bunyi yang diberikan.

Organ pendengaran bayi mungkin sihat dan mempunyai pendengaran normal apabila keputusan ujian menunjukkan lulus, organ pendengaran bayi mungkin tidak normal dan disyaki mempunyai masalah pendengaran jika keputusan menunjukkan rujuk, manakala keputusan tidak tepat dan dilabel bising jika ujian dipengaruhi oleh suasana bising dalam bilik ujian atau bayi menangis dan bergerak ketika ujian dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2015 @ 5:02 AM