Safiq dihimpit dua pemain Sarawak dalam saingan Liga Super di Stadium Larkin, malam tadi. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Oleh Mohamad Fahd Rahmat
fahd@hmetro.com.my

Johor Bahru: Pakar sepakan percuma, Safiq Rahim yang menghadiahkan Johor Darul Ta’azim (Johor DT) dua gol pada hujung aksi separuh masa pertama, berjaya memadam rekod bersih Sarawak yang belum pernah tewas sepanjang tiga perlawanan Liga Super sebelum ini.

Johor DT mengutip tiga mata penuh apabila menewaskan Sarawak 2-1, malam tadi.

Sarawak bermula garang apabila kental mengasak kubu lawan di Stadium Tan Sri Haji Hasaan Yunos, di sini.

Tamparan awal mula diterima Johor DT selepas aksi goyah dipamerkan pada awal permainan nyaris mengundang padah apabila pemain pertahanan, Mohd Asraruddin Putra Omar dan penjaga gol Farizal Marlias terkeliru hingga Joseph Kalang Tie nyaris menyumbat gol.

Permainan bertambah menarik apabila beberapa percubaan balas dilancarkan kedua-dua pasukan termasuklah daripada Mohd Nazrin Mohd Nawi pada minit ke 7 dengan rembatan kaki kiri dari luar kotak penalti, namun tersasar ke bahagian kanan gol Sarawak.

Pemain jersi 26 pasukan Sarawak Ivan Fatic juga hampir memerangkap Farizal selepas melakukan rembatan ke gawang namun gagal meledak gol pada minit ke 10.

Bujang Senang bijak menyelinap sekali gus membuatkan lebih 20,000 penyokong tuan rumah tersentak selepas lorongan Ivan Fatic kepada Billy Mehmet berjaya mengelirukan pemain pertahanan Mohd Asraruddin Putra Omar dan menewaskan Farizal pada minit ke 26, sekali gus meletakkan Sarawak di depan.

Berbekalkan gol sulung, persembahan pasukan Bujang Senang selepas itu dilihat selesa dan tindakan K J Partiban yang mengasari Safiq Rahim memberi sepakan percuma kepada Johor Dt yang disempurnakan Safiq dari penjuru kotak penalti sekali gus kedudukan seri 1-1 pada minit ke 39.

Tidak sampai dua minit Safiq sekali lagi berjaya menggamatkan stadium apabila rembatannya berjaya membolosi gawang Bujang Senang yang dikawal Mohd Fadzley Abd Rahim.

Tiada gol dijaringkan kedua-dua pasukan pada separuh masa kedua, namun ketika masa tambahan, tindakan Mehmet yang menampar bola kerana ketidakpuasan hati menyebabkan pengadil Mohd Amirul Izwan Yaacob melayangkan kad merah sekali gus mengarahkannya keluar padang.

Dengan kemenangan itu, Johor DT melonjak ke tangga ketiga Liga Super.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2015 @ 12:08 AM