Kuala Lumpur: Bakal pembeli rumah perlu bijak memilih insurans bersesuaian dengan pembelian hartanah masing-masing melalui pertimbangan keupayaan kewangan dan tujuan pembelian sebelum membuat keputusan sama ada untuk mendapatkan perlindungan insurans berbentuk MRTA atau MLTA.

Pengarah Urusan dan Perunding Hartanah IM Global Property Consultant Sdn Bhd, Ishak Ismail berkata langkah berkenaan penting bagi memastikan pembeli mendapat perlindungan setimpal daripada pembelian premium insurans yang dipilih dan ia benar-benar membantu dalam melindungi kepentingan pembeli untuk tempoh waktu yang ditetapkan.

“Pada kebiasaannya, pembeli ditawarkan pembelian insurans MRTA apabila mendapatkan pembiayaan daripada bank namun mereka berhak memilih sama ada untuk mendapatkan perlindungan terbabit atau bertukar kepada perlindungan MLTA,” katanya pada Bisnes Metro, semalam.

Beliau berkata, MRTA adalah sesuai untuk individu yang hanya ingin membeli sebuah rumah di mana pembayaran untuk perlindungan itu akan dimasukkan sekali ke dalam pinjaman sekali gus memudahkan urusan pembayaran insurans terbabit.

Menurutnya, MLTA pula dilihat sesuai untuk individu yang ingin melakukan pelaburan dengan membeli lebih daripada satu rumah atau individu yang ingin membeli rumah namun ingin menikmati manfaat lain seperti pelaburan dan pulangan tunai.

“Pada masa ini, kebanyakan individu masih memilih MRTA disebabkan mereka tidak perlu mencari pakej perlindungan lain berikutan ia disediakan pihak bank. Saya berpendapat bakal pembeli perlu mengenal pasti sepenuhnya perlindungan yang ditawarkan dengan melakukan sedikit rujukan daripada pembacaan atau lain-lain,” katanya.

Dalam masa sama, Ishak berkata, bakal pembeli perlu memilih syarikat insurans yang terbukti kukuh dalam mendapatkan pelan perlindungan diingini terutama sekali MLTA bagi memastikan mereka tidak tertipu dan manfaat sepenuhnya melalui perlindungan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2015 @ 5:14 AM