SUASANA malam dari taman.
TAB mandi lengkapkan taman di atas bumbung.
IMPLEMENTASI konsep yang unik.
Oleh Hartini Mohd Nawi
hartini@mediaprima.com.my


Cita rasa dan gaya hidup berbeza membuatkan wujudnya pelbagai konsep taman seperti tropika.

Kediaman yang menggunakan konsep tropika seperti di desa menggamit seribu ketenangan sepanjang masa.

Pengarah Urusan MAG Builders Sdn Bhd, Muhsin Abdul Ghani mengakui, konsep kediaman tropika sesuatu yang menarik dan popular hari ini.

“Tropika melambangkan satu identiti rumah yang menggunakan beberapa elemen penting.

“Ketelitian membuat pilihan perlu menjadi keutamaan dalam membentuk taman tropika,” katanya.

Beliau berkata, elemen kayu digunakan secara meluas pada bahagian bumbung dan kerangka bumbung tidak ditutup dengan siling supaya kesan lebih dapat dirasai.

Bagi mereka yang mempunyai bajet lebih, pasti memilih kayu cengal berbeza dengan unsur tradisional yang menggunakan elemen kayu berukiran unik.

“Anda yang sukakan lantai kayu, sudah tentu ia menjadi material berkenaan sebagai kemasan lantai.

“Bentuk bumbung juga antara asas rekaan dan konsep tropika saling berhubung rapat dengan bumbung berbentuk ‘pitch’ atau V terbalik menerusi kecondongan antara 17 hingga 37 darjah.

“Bagi memberi impak lebih ketara, penggunaan bumbung tanah liat antara yang dicadangkan,” katanya.

Tidak dinafikan elemen landskap termasuk tanaman dan kaedah penyusunan batu-batuan juga menambah seri serta kedamaian taman tropika.

Kolam ikan bersama aliran air terjun atau kolam renang mampu menjelmakan suasana kampung.

Kediaman tropika lebih kepada warna bumi seperti coklat, hijau, kuning susu dan putih.

“Jika mahu kelainan, gabungkan beberapa konsep lain termasuk tropika moden, tropika Bali dan tropika tradisional.

“Tropika moden membabitkan 70 peratus elemen tropika dan 30 peratus moden.

“Namun, meng­gabungkan tropika dan Inggeris dilihat sedikit sukar atau mungkin bertukar menjadi English country home,” katanya.

Layari Facebook mag builders atau e-mel muhsin@ magbuilders.com.my untuk keterangan lanjut.

Tropika moden

Projek Mag Builders membina banglo di Karak, Pahang antara yang menarik perhatian mengenai konsep tropika moden.

Direka berkonsepkan tropika menerusi penggunaan kayu resak (balau) dan meja makan diperbuat daripada kayu balak yang dipotong menjadi kepingan.

Terdapat sedikit elemen Bali di mana pasu konkrit digunakan untuk dekorasi taman dan terdapat tab mandi yang diperbuat daripada batu asli diimport terus dari Bali.

Kedudukan tab mandi ini di tengah taman di atas bumbung supaya penghuni dapat mandi dalam suasana privasi terutama malam sambil memerhati keindahan bulan dan bintang.

Ada juga tempat mandian yang dibina dikelilingi kolam ikan dan konsep ini dilihamkan daripada bahtera Nabi Nuh.

Kayu landasan kereta api pula digunakan sebagai pemijak di bahagian ruang letak kereta terbuka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2015 @ 5:05 AM