AFP

Sydney: Seorang lelaki Australia ditangkap selepas diperangkap dalam operasi global yang menyasarkan pedofilia menggunakan imej kanak-kanak Filipina rekaan maya berusia 10 tahun bernama Sweetie.

Scott Robert Hansen, 38, menjadi orang pertama dijatuhi hukuman dalam operasi dalam talian yang turut membawa kepada penahanan 46 warga Australia lain.

Menurut pegawai mahkamah, Hansen dihukum atas tiga tuduhan termasuk menggunakan perkhidmatan komunikasi untuk membuat kenyataan lucah kepada mangsa berusia di bawah 16 tahun serta memiliki bahan lucah kanak-kanak.

Katanya, Hansen juga didakwa gagal mematuhi perintah salah laku seks.

“Dia dipenjara dua tahun yang turut merangkumi 260 hari dalam tahanan reman,” katanya.

Kumpulan hak asasi manusia Belanda, Terre des Hommes berkata, mereka menggunakan watak Sweetie dalam operasi yang dijalankan November tahun lalu di laman sembang Internet bertujuan memerangkap lelaki pedofilia.

Menurut mereka, dalam tempoh 10 minggu, lebih 20,000 lelaki dari 71 negara berkenalan dengan Sweetie dan memintanya membuat pelbagai aksi lucah di depan kamera komputer. Hasilnya, lebih 1,000 pedofilia berjaya dikenal pasti.

Kumpulan itu melaporkan, beberapa pesalah juga berjaya ditahan selepas maklumat diperoleh mereka disalurkan kepada polis termasuk di Australia, Poland dan Amerika Syarikat.

Terre des Hommes menegaskan, Sweetie tidak menghubungi sesiapa sebaliknya menunggu ‘pemangsa’ berkenalan dan memintanya melakukan aksi seks.

Kumpulan itu menghentikan perbualan sebaik Sweetie ditawarkan wang untuk melakukan aksi seks.

Polis Persekutuan Australia membuat pemeriksaan di rumah Hansen selepas lelaki itu bersembang dengan Sweetie di Internet dengan berbogel sambil beronani.

Ketua kempen Terres de Hommes berkata, pihaknya amat terkejut dengan hasil operasi mereka yang didedahkan pada 2013.

“Bayangkan jika anda seorang kanak-kanak perempuan Filipina yang hanya berusia 10 tahun dan didedahkan dengan permintaan melampau lelaki ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Oktober 2014 @ 5:05 AM