BARISAN pelumba TSG bakal gegar LTdL 2015.
Oleh Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


Pulau Langkawi: Dua pelumba pecut terbaik negara, Anuar Manan dan Mohd Harrif Salleh bakal mendapat ‘layanan istimewa’ apabila turun bersaing di Le Tour de Langkawi (LTdL) 2015 yang bermula esok.

Kedua-dua pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) itu diletakkan harapan besar menamatkan kemarau pelumba tempatan yang gagal menaiki podium sejak dua edisi lalu.

Kali terakhir pelumba negara menaiki podium pada edisi 2012 menerusi Anuar yang menduduki tempat ketiga peringkat ketiga perlumbaan dari Melaka ke Parit Sulong.

“Misi pasukan pada tahun ini mendapatkan podium. Khas untuk Anuar dan Harrif.

“Kami akan berusaha sebaik mungkin bagi membolehkan pelumba pecut itu mencapai sasaran ditetapkan,” kata pelumba paling senior pasukan TSG, Mohd Zamri Salleh.

Selain Zamri, TSG turut diperkuat kehadiran Adiq Husainie Othman, Mohd Saiful Anuar Abdul Aziz dan Goh Choon Huat dari Singapura.

Selain TSG, tugas mengibarkan cabaran negara menerusi skuad kebangsaan dan pasukan Majlis Sukan Negara (MSN).

Bagaimanapun peluang terbaik negara untuk sekurang-kurangnya menceriakan peminat tempatan adalah menerusi kombinasi pelumba TSG yang berpengalaman luas di pentas antarabangsa.

“Kami tidak rasa terbeban dengan harapan disandarkan. Kami cuma perlu fokus kepada perlumbaan, terpulang kepada orang untuk memberikan pandangan,” tambahnya.

Jelasnya, pelumba TSG menjalani persiapan hampir tiga minggu di Thailand dan sudah bersedia menghadapi LTdL kali ini.

Perlumbaan LTdL edisi ke-20 anjuran Human Voyage Sdn Bhd mempertaruhkan lapan peringkat perlumbaan yang merangkumi jarak melebihi 1,000 kilometer.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2015 @ 4:32 AM