IPOH: Seorang lelaki ditahan reman selama lima hari bermula hari ini kerana disyaki terlibat dalam kes menyerang dan menetak tiga beranak dengan parang di rumah mereka di Taman Maju Rapat di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, suspek berumur 35 tahun itu direman bagi membantu siasatan kes kerana mendatangkan kecederaan.

Suspek disyaki bekas teman lelaki mangsa wanita berusia 20 tahun yang kaki kanannya hampir putus akibat ditetak.

Bapa wanita itu berusia 47 tahun turut cedera di bahagian belakang sementara adik lelaki wanita tersebut yang berumur 17 tahun cedera di tangan kiri.

Kejadian serangan itu berlaku pada 4.40 pagi apabila lima suspek dilapor bertindak memecah pintu rumah mangsa sebelum menyerang mangsa.

Susulan kejadian itu, seorang lelaki ditahan di sekitar bandar raya Ipoh semalam. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2015 @ 6:47 PM