Oleh Muhammad Saufi Hassan
saufi@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berharap supaya Perbadanan Nasional Berhad (PNS) terus menjadi pemangkin kepada industri francais di negara ini sekali gus menjana pertumbuhan ekonomi negara.

Najib berkata, peranan PNS sangat penting dalam melahirkan usahawan industri berkenaan yang mempunyai perisian tersendiri supaya mampu membawa sektor berkenaan ke tahap yang lebih tinggi.

"Negara memerlukan lebih ramai pemain industri yang memiliki kriteria inovatif dan daya keusahawanan yang tinggi supaya membolehkan mereka berjaya dalam perniagaan sektor ini.

"Sebagai sebuah negara yang bercita-cita untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi, kita memerlukan pemain industri seumpama itu serta membawa perniagaan jenis francais ke tahap lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Menara PNS serta melancarkan Persidangan Antarabangsa Francais 2015, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2015 @ 1:32 PM