TENGGILING yang dirampas rata-ratanya sudah tidak bernyawa.
PENGARAH Jabatan Perhilitan Kedah, Mohamad Hafid Rohani (dua dari kiri) bersama anggotanya menunjukkan tenggiling yang berjaya dirampas di kompleks pemeriksaan kastam Bukit Kayu Hitam.
TENGGILING yang masih hidup dan diselamatkan daripada pemerdagangan haram (kredit Traffic).
CANTIK berkilau sehingga menarik banyak perhatian yang mahu menyimpannya.
Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my


Melihat keunikan pada sisik luarannya, mungkin ramai yang menyangka haiwan ini adalah spesies garang apatah lagi memiliki kuku yang panjang dan tajam.

Namun, tanggapan itu jauh sama sekali kerana tenggiling adalah haiwan pemalu dan akan melindungi dirinya dengan menjadi bulat seperti bola apabila dihampiri dan disentuh manusia.

Pada 21 Februari lalu adalah Hari Tenggiling Sedunia dan pastikan ada sesuatu yang istimewa kerana haiwan itu mendapat pengiktirafan masyarakat dunia. Pelbagai aktiviti diadakan persatuan pencinta haiwan bagi menarik perhatian masyarakat dunia akan kepupusan haiwan terancam ini.

Kenali tenggiling

Tenggiling atau nama lainnya Manis javanica turut dikenali sebagai Malayan pangolin. Terdapat lapan spesies tenggiling di dunia tetapi Malayan pangolin adalah satu-satunya spesies yang ditemui di negara ini selain Thailand, Indonesia, Vietnam, Laos, Kemboja dan Singapura.

Haiwan yang tergolong dalam keluarga mamalia ini mendiami hutan tropika dan sub tropika, hutan kayu kering dan kawasan savana terbuka.

Pegawai Kanan Komunikasi Traffic Southeast Asia (TRAFFIC), Elizabeth John berkata, tenggiling memiliki perisai unik keras pada sisik di badannya manakala kukunya yang besar dan tajam bagi memecah sarang dan busut selain lidah melekit bagi menjilat serangga seperti semut dan anai-anai.

Beliau berkata, telinga dan kelopak mata tenggiling boleh ditutup untuk mengelak serangan semut.

“Jika berasa terancam, haiwan mamalia ini akan menggulungkan dirinya seperti bola sehingga menyukarkan gigi haiwan liar untuk menembusi dagingnya.

“Malangnya, mekanisme pertahanan itu juga membuatkan ia lebih mudah bagi pemburu haram untuk mengutip dan memasukkan dalam guni,” katanya.

Pemerdagangan

Tenggiling dilindungi sepenuhnya di Semenanjung Malaysia di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Justeru, haiwan pemalu ini tidak boleh dipelihara atau diniagakan malah tiada permit pemilikan dikeluarkan Jabatan Perhilitan untuk orang ramai.

Tenggiling menghadapi ancaman manusia akibat kemusnahan habitat selain menjadi buruan pemburu haram.

Ia mudah tertekan dan meskipun diselamatkan, kebanyakan tenggiling akan mati semasa proses memburu dan pemerdagangan.

Selepas ditangkap, haiwan itu diletak dalam guni tanpa sumber makanan dan boleh menyebabkannya mati.

Mengapa ia sering menjadi buruan? Jika berbalik kepada mitos, mamalia ini dicari kerana memiliki manfaat kesihatan - daging, sisik serta organ dalaman.

Pengamal perubatan tradisional percaya ia mampu mengubati pelbagai penyakit termasuk kanser manakala dagingnya dijadikan sajian eksotik, menguatkan tenaga syahwat lelaki, memanaskan suhu badan dan kulitnya dijadikan barangan kasut, beg dan tali pinggang.

Meskipun, usaha penguatkuasaan berterusan, penyeludupan tenggiling masih berleluasa. Rampasan yang dilaporkan mungkin kecil berbanding jumlah pemerdagangan sebenar.

Harian Metro bertarikh 18 November 2014 melaporkan seorang bekas anggota polis ditangkap kerana menyimpan dan menzalimi 43 tenggiling hidup (lapan tenggiling jantan, 12 tenggiling tidak matang dan 23 tenggiling betina)

Tenggiling yang ditemui dalam longgokan guni memiliki berat antara 600 gram hingga dua kilogram (kg).

Rampasan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bukit Kayu Hitam itu bernilai RM30,000 dan mahu diseludup ke Thailand.

Berita Harian bertarikh 18 Jun 2014 turut melaporkan seorang ahli perniagaan dari negara ini ditahan Jabatan Kastam dan Eksais Hong Kong kerana disyaki menyeludup masuk 3,300 kilogram sisik tenggiling bernilai HK17 juta (RM7 juta) melalui pelabuhan negara itu.

Sisik itu diambil daripada lebih 8,000 tenggiling yang dibunuh dan disembunyikan dalam dua kontena dari Afrika melalui Malaysia.

Manakala, pada Disember 2013 seorang lelaki tempatan ditahan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 3 ketika cuba menyeludup 28 tenggiling bernilai RM30,000.

Menggunakan modus operandi yang sama dengan menaiki kenderaan dan menyusup keluar ke Danok, Thailand.

Haiwan terancam itu disorok di dalam bungkusan guni biru di bahagian but kereta yang sudah diubah suai.

Ketiga-tiga contoh kes berkenaan menunjukkan haiwan eksotik ini mempunyai nilai tinggi dalam pasaran tempatan di negara jiran.

Malah, permintaan tinggi dari restoran di luar negara terutamanya di China menyebabkan harga daging tenggiling melambung tinggi sehingga melebihi RM800 sekilogram di pasaran gelap yang didalangi sindiket tertentu sama ada dalam dan luar negara.

Menurut pemantauan TRAFFIC, sekurang-kurangnya 2,700 tenggiling dirampas di Malaysia sejak 2011.

Hampir 40 peratus daripada jumlah itu diwakili satu rampasan oleh Kastam Diraja Malaysia Sabah di Batu Sapi membabitkan lebih dari seribu tenggiling beku.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2015 @ 1:09 PM