Oleh Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Impian Datuk Nicol David (gambar) untuk terus ‘menindas’ musuh tradisi, Raneem El Weleily berkecai apabila tewas di tangan pemain Mesir itu pada perlawanan akhir Terbuka Windy City 2015 di Chicago, semalam.

Rekod pertemuan Nicol-Raneem memang memihak kepada atlet kelahiran Pulau Pinang itu, namun apa yang berlaku di Chicago menceritakan perkara sebaliknya.

Pada final Klasik Cleveland yang berlangsung bulan lalu, Nicol dengan mudah mengalahkan Raneem untuk meraih gelaran sulungnya tahun ini.

Bagaimanapun, Raneem berjaya membalas dendam kekalahan di Cleveland dengan mengatasi Nicol 14-16, 12-10, 11-7, 11-7 dalam perlawanan hampir sejam, semalam.

Perlawanan akhir semalam adalah ulangan aksi kedua-dua pemain pada Kejohanan Skuasy Wanita Dunia akhir tahun lalu, tetapi ketika itu Nicol berjaya muncul pemenang dan merangkul gelaran kelapan kejohanan terbabit.

Aksi set pertama ternyata dikuasai Nicol yang berjaya mengutip mata demi mata, namun Raneem memintas untuk mendahului 10-8 sebelum Nicol bangkit mencatat kemenangan 16-14.

Perkara sama berlaku pada set kedua apabila Raneem mendahului 10-8, tetapi kali ini dia tidak melakukan kesilapan serupa apabila mencatat kemenangan 12-10.

Raneem dilihat mula mendapat keyakinan pada set ketiga apabila mencatat kemenangan 11-7 dan bermula cemerlang dengan mendahului 3-0 pada set terakhir.

Nicol cuba bangkit dengan mengikat kedudukan 4-4 namun Raneem berada di kelas tersendiri untuk meraih kejuaraan serta memperbaiki rekod pertemuan 8-3 dengan Nicol sepanjang kedua-duanya bertemu di final.

Ini kali kedua pada tahun ini menyaksikan Nicol gagal menjulang trofi.

Januari lalu, dia tersekat di peringkat suku akhir Kejohanan Juara-Juara JP Morgan apabila tumpas kepada Alison Waters dari England.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2015 @ 9:59 AM