KEADAAN Rumah mangsa yang musnah terbakar. FOTO Bomba Sukarela Felda Sahabat
Oleh Junaidi Ladjana

Lahad Datu: Seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun ditemui rentung di rumahnya dalam kebakaran di Felda Sahabat 4 Cenderawasih, Lahad Datu, petang tadi.

Dalam kejadian 1.28 petang itu, mayat mangsa Bahrum Kama, ditemui di dalam bilik rumah berkenaan oleh anggota bomba sebaik api berjaya dikawal.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendi K Ramin berkata, pihak bomba menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada 1.30 petang sebelum sebuah jentera dengan enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Anggota bomba menemui satu mayat rentung di bahagian bilik rumah berkenaan dan diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

"Buat masa ini, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 4:33 PM