GOLONGAN muda Dalit yang mahu ubah tradisi merugikan remaja perempuan.
SUSMITA berazam untuk terus belajar dan perbaiki kehidupan keluarganya.
SUSMITA anggap dia buat keputusan terbaik apabila melarikan diri daripada suami.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin
laila@hmetro.com.my


Pada satu malam yang dingin, Susmita Kami, 13, berjalan berjingkit-jingkit, menyelinap keluar dari rumah suaminya. Sebaik kakinya menjejak tanah, dia terus berlari tanpa henti sehinggalah tiba di depan pintu rumah ibu bapanya di kawasan terpencil di barat laut Nepal.

Susmita lari daripada perkahwinan paksa satu tradisi dalam komuniti Dalit di negara Himalaya itu yang membabitkan remaja khususnya perempuan kini semakin terancam dengan meningkatnya kesedaran golongan muda untuk berubah .

Walaupun digesa oleh saudara-mara untuk menghantarnya balik ke keluarga suami, ibu bapa Susmita bertegas mahu dia tinggal bersama mereka. Mereka tidak sampai hati untuk menolak rayuan Susmita yang mahukan kehidupan lebih baik.

Itu cerita tiga tahun dulu dan kini, pada usia 16 tahun, Susmita berasa sangat bersyukur apabila ibu bapanya tegas dalam membuat keputusan dan tidak tunduk pada desakan saudara-mara.

“Saya beritahu ibu dan bapa bahawa saya tidak mahu berkahwin. Saya tidak mahu kembali ke pangkuan suami. Saya lari kerana mahu terus bersekolah,” cerita Susmita.

Walaupun Nepal sudah mengharamkan perkahwinan kanak-kanak sejak 1963, tradisi itu masih berlanjutan sampai sekarang. Menurut Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), empat daripada 10 remaja perempuan dikahwinkan sebelum mencecah usia 18 tahun.

Angka ini lebih tinggi dalam kalangan komuniti Dalit atau kasta yang ‘tidak boleh disentuh’ dan tinggal di kawasan terpencil. Bagi kasta ini, tradisi mereka memang terjaga rapi dan tiada siapa berani mencabar atau mengubahnya.

Menurut kaji selidik yang dilakukan oleh Plan International, Save the Children dan World Vision pada 2012, tiga daripada empat golongan Dalit berkahwin pada usia belasan tahun atau lebih awal. Remaja perempuan pula ramai yang dilarikan oleh bakal pengantin lelaki. Namun, apa yang menyedihkan tidak banyak keluarga yang membantah budaya ini.

Susmita sendiri diculik ketika sedang mengutip kayu api dan dipaksa berkahwin empat hari kemudian. Perkara ini juga dilalui oleh ibunya, Jadane Kami, ketika dia remaja dulu.

“Inilah budaya kami. Ia dilakukan kerana orang bimbang anak gadis kami akan melarikan diri dan berkahwin dengan lelaki daripada komuniti lain,” kata Jadane yang pada awalnya tidak membantah apabila anaknya (Susmita) dipaksa menjadi isteri pada usia yang sangat muda.

Tradisi memaksa anak gadis berkahwin muda ini terus bertahan meskipun pelbagai peristiwa besar melanda Nepal termasuk tercetusnya 10 perang saudara, tamatnya pemerintahan beraja dan berlakunya transisi pada sistem politik negara itu.

Di Simikot, pusat pemerintahan di daerah Humla yang terletak di sempadan Tibet, golongan Dalit tinggal dalam beberapa komuniti terasing.

Keadaan rumah mereka yang beratapkan rumput kering amat berbeza dengan kediaman milik kasta yang lebih tinggi dalam kepercayaan Hindu dan Buddha.

“Golongan Dalit hidup susah kerana status kasta mereka yang rendah. Selama berabad lamanya, mereka tidak dibenarkan bercampur gaul dengan golongan lain,” kata Timbalan Ketua Daerah Humla, Bam Bahadur KC.

“Ini secara tidak langsung membuatkan mereka terus hidup terasing dan mengekalkan budaya lama. Agak sukar untuk mereka menerima perubahan,” sambungnya.

Keluarga Dalit juga perlu bekerja keras untuk mencari nafkah apabila kanak-kanak terpaksa berhenti sekolah dan mula bekerja bagi menambah pendapatan si ayah yang kebanyakannya menjadi petani.

Anak sulung daripada tujuh beradik, Dana Sunar, yang kini berusia 18 tahun masih ingat dia menjadi gadis terakhir di dalam kelasnya yang terus belajar. Ketika kawan-kawannya berhenti sekolah dan bekerja, Sunar memasang impian untuk menamatkan pengajian dengan baik supaya boleh menjadi guru.

Malangnya pada usia 14 tahun, dia diculik dan dipaksa mengahwini petani muda yang baru mencecah 18 tahun dengan pendapatan kira-kira RM182 sebulan.

“Saya menangis dan menangis. Seolah-olah orang mengunci pintu di depan saya dan impian saya berkubur begitu saja,” kata Sunar yang masih sedih dengan nasibnya.

Keluarga suaminya memaksa Sunar untuk berhenti sekolah dan memberi tumpuan kepada kerja rumah dan ladang.

Kini, ibu muda yang mempunyai anak kembar berusia tujuh bulan itu mengakui hidup barunya itu ‘amat susah’.

“Kami tidak pernah ada cukup wang kadangkala kami makan sekali saja dalam sehari. Saya tidak tahu bagaimana hendak membesarkan anak-anak dalam keadaan yang susah begini,” katanya lagi.

Pakar berkata, akibat yang ditanggung pasangan yang berkahwin terlalu muda amat menyedihkan.

“Mereka akan mendapat anak pada usia muda dan tidak dapat memberi fokus kepada pendidikan. Selalunya ibu dan bayi mengalami masalah kesihatan. Mereka akan terus hidup dalam kesusahan dan oleh kerana kemiskinan, anak-anak mereka juga tidak dapat bersekolah. Jadi kitaran kemiskinan itu akan terus berulang,” kata Kunga Sanduk Lama, pegawai kerajaan yang bertugas dalam hal ehwal hak kanak-kanak.

Kewujudan undang-undang langsung tidak memberi kesan kepada tradisi berkenaan, katanya. Ini kerana mereka kekurangan bukti sama ada dalam bentuk dokumentasi, gambar atau saksi testimoni yang diperlukan untuk mengesahkan berlakunya satu-satu perkahwinan supaya tindakan sewajarnya boleh diambil.

Bagaimanapun, keba­nyakan kempen hanya memberi fokus kepada aspek meningkatkan kesedaran melalui program radio, pertunjukan jalanan dan aktiviti kelab lepas sekolah untuk kanak-kanak.

Mereka yang menjadi mangsa kepada tradisi ini memang tidak perlu diyakinkan lagi bahawa ia adalah budaya merugikan. Susmita, yang kini belajar di gred sembilan secara terang-terangan mengakui dia mahu melihat ‘budaya buruk’ itu dihentikan.

Ayahnya yang bekerja sebagai tukang kasut dengan pendapatan RM291 sebulan berkata, amat sukar untuk membiayai persekolahan Susmita. Kos untuk pakaian seragam saja mencecah RM163 lebih separuh daripada pendapatannya sebulan. Namun, dia tidak menyesal dan sanggup lakukan apa saja untuk memastikan Susmita dapat terus belajar.

“Saya mahu anak saya sampai ke peringkat dia boleh berdikari,” kata ibu Susmita.

“Pada saya dia buat keputusan yang tepat apabila melarikan diri dari rumah suaminya dulu. Kini saya lihat dia semakin berani, lebih berani dari saya. Saya bangga dengannya,” sambungnya lagi. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 10:25 AM