SEBAHAGIAN peniaga kedai makan yang menyediakan 'Signature Food' di kawasan R&R terpilih.
Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my


Menjadi lebuh raya terpanjang di Malaysia, sepanjang 772 kilometer dari Bukit Kayu Hitam di Kedah hingga Johor Bahru di bahagian selatan Semenanjung Malaysia, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) nyata laluan yang sentiasa sibuk.

Justeru, bagi merancak industri pelancongan negara, Tourism Malaysia dengan kerjasama PLUS Malaysia Berhad (PLUS), menerbitkan buku panduan, Jom Singgah! bagi membantu pelancong domestik dan antarabangsa merancang perjalanan.

Memilih 'Lebuh Raya Pilihan Untuk Cuti-Cuti 1 Malaysia Anda' sebagai slogan rasmi buku panduan ini, Jom Singgah! juga diterbitkan bagi menepati objektif memartabatkan industri pelancongan negara.

Jom Singgah! menampilkan 16 kawasan Rehat & Rawat (R&R) PLUS serta pel­bagai destinasi pelancongan menarik yang boleh dilawati lengkap dengan jarak dan susur keluar plaza tol.

Buku panduan itu turut mencadangkan masakan istimewa atau 'Signature Food' di R&R terpilih.

Pengerusi Tourism Malaysia, Tan Sri Dr Ng Yen Yen berkata, Jom Sing­gah! ini adalah idea yang bernas.

Beliau berkata, penerbitan Jom Singgah! ini tepat pada masanya kerana Malaysia menyambut Tahun Melawat Malaysia 2014 dan kempen Tahun Festival Malaysia 2015.

"Justeru, saya berharap pengguna dapat menjadikan buku Jom Singgah! ini sebagai panduan ketika meng­gunakan lebuhraya dan mempromosikan industri pelancongan negara," kata­nya.

Sementara itu, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PLUS Malaysia Berhad, Datuk Noorizah Abd Hamid berkata, penaikan taraf kawasan R&R menjadikan perjalanan di lebuh raya lebih selamat dan selesa.

Selain itu, dengan wujudnya R&R ini, menurutnya pengguna boleh singgah sebentar untuk berehat sebelum menyambung semula pemanduan mereka dengan lebih segar dan lebih fokus.

"Buku panduan ini boleh didapati secara percuma di pusat-pusat Infomasi Pelancongan (TIC), pejabat negeri Tourism Malaysia dan pameran pelancongan yang disertai Tourism Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Oktober 2014 @ 5:03 AM