LELAKI Yahudi ortodoks membawa sepanduk dan bendera Palestin ketika menunjuk perasaan di Capitol Hill, Washington kerana membantah kehadiran Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu yang menyampaikan ucapan di depan anggota Kongres Amerika Syarikat, semalam.
AFP

Ramallah: Presiden Palestin, Mahmoud Abbas semalam berkata, pihaknya masih bersedia untuk berunding dengan Israel walaupun beberapa siri rundingan dengan rejim Zionis sebelum ini berakhir dengan kegagalan.

Mahmoud berkata demikian ketika berucap di hadapan pemimpin Palestin pada pembukaan persidangan selama dua hari di Tebing Barat.

Persidangan itu membincangkan masa depan Pihak Berkuasa Palestin yang kini terancam selepas Israel membekukan hasil pendapatan cukai yang dipungutnya bagi pihak Palestin.

Wang berkenaan adalah sumber pendapatan utama Pihak Berkuasa Palestin.

“Kami meminta semua negara di seluruh dunia mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara.

“Kami mahu memberitahu Israel bahawa langkah ini bukan bermakna kami tidak mahu berunding atau melarikan diri daripada rundingan,” katanya.

Rundingan antara Palestin dan kerajaan Israel pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu yang disokong Amerika Syarikat menemui jalan buntu April lalu.

Rundingan selama sembilan bulan itu gagal selepas tidak membuahkan sebarang hasil ekoran kedegilan dan keangkuhan rejim Zionis.

Palestin pada Disember lalu mengemukakan satu usul di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi mendesak pencerobohan Israel di Tebing Barat ditamatkan dalam tempoh dua tahun.

Bagaimanapun, usul itu gagal memperoleh undi yang mencukupi daripada anggota Majlis Keselamatan.

Pada Januari lalu, Palestin berjaya diterima masuk ke dalam Mahkamah Jenayah Antarabangsa dan merancang mendakwa Israel atas jenayah perang.

Langkah itu menyebabkan Israel bertindak membekukan hasil cukai berjumlah AS$127 juta (RM463.72 juta) sebulan kepada Pihak Berkuasa Palestin.

Tindakan itu menyebabkan Pihak Berkuasa Palestin kekurangan dana untuk membayar gaji beribu-ribu kakitangannya.

“Bulan ini adalah bulan ketiga berturut-turut kami mengambil pinjaman dari bank,” jelas Mahmoud.

Beliau menegaskan bahawa penyelesaian secara politik adalah jalan terbaik menyelesaikan masalah itu.

Pihak Berkuasa Palestin bersedia membuat perjanjian dan berbincang dengan sesiapa memenangi pilihan raya umum Israel pada 17 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 7:52 AM