Kuala Lumpur: Kementerian Industri Perladangan dan Komoditi optimis untuk meraih sebanyak RM53 bilion dalam nilai eksport kayu dan produknya menjelang 2020 walaupun ketika ini angka yang direkodkan mengalami pertumbuhan perlahan.

Setakat 2014, eksport kayu dan produknya mencatatkan RM20.5 bilion iaitu meningkat 5.1 peratus berbanding RM19.5 bilion pada 2013. Menerusi data berkenaan juga, industri perabot mencatatkan RM8.01 bilion yang meningkat 8.8 peratus berbanding 2013.

Menterinya, Datuk Amar Douglas Uggas Embas berkata, menerusi sasaran RM53 bilion itu, produk perabot kayu turut disasarkan kepada RM16 bilion menjelang 2020 menerusi penerokaan pasaran baru dan menambah nilai produk eksport dalam jangka masa berkenaan.

Beliau berkata, 2015 adalah tahun yang penting bagi mengembangkan prestasi eksport Malaysia ke negara ASEAN menerusi pembentukan Komuniti Ekonomi ASEAN yang membolehkan perdagangan bebas tanpa cukai dapat dilaksanakan dalam kalangan negara ahli.

“Ini adalah peluang untuk pemain industri mengembangkan perdagangan mereka di ASEAN memandangkan ia adalah rantau pasaran ketiga terbesar dunia dengan catatan 600 juta penduduk yang mana kita boleh menerokai pasaran luas ini, sekali gus meningkatkan prestasi eksport negara dalam sektor perkayuan.

“Pada 2014 saja, eksport perabot Malaysia ke negara ASEAN mencecah RM1.03 bilion yang mana Singapura, Filipina dan Indonesia adalah pasaran utama,” katanya pada perasmian Pameran Eksport Perabot (EFE) 2015 di sini, semalam.

EFE 2015 adalah acara tahunan yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang menyediakan peluang perdagangan antara pempamer dan ia adalah kali ke-11 diadakan di Malaysia membabitkan 269 pempamer tempatan serta asing.

Amar berkata, Malaysia kini berada di kedudukan kelapan negara eksport terbesar dunia dan ketiga di Asia dengan mempunyai 160 negara pasaran di seluruh dunia. Amerika Syarikat adalah negara pasaran utama sebanyak 30 peratus daripada nilai eksport keseluruhan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 7:39 AM