Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Polis menumpaskan sekumpulan pengedar dadah dengan tangkapan tiga lelaki dan rampasan lima ketulan mampat dipercayai ganja seberat lima kilogram bernilai RM50,000 di kawasan Parit Yusuf dekat Muar, kelmarin.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, turut dirampas kereta dan wang tunai RM3,950 dipercayai hasil daripada pengedaran dadah.

"Tiga lelaki yang berusia antara 40 hingga 50 tahun itu ditahan dalam operasi khas di sekitar kawasan itu pada 11.45 malam.

"Ujian saringan awal air kencing mendapati dua daripada suspek positif ganja, manakala hasil semakan, seorang mempunyai rekod lampau juga dalam kes dadah," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2015 @ 1:35 PM