WINGS melangkah setapak lagi dengan melancarkan aplikasi sendiri ‘Wings Mobile Apps’.
Oleh Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my

Seiring konsep segalanya di hujung jari pada era berpaksikan teknologi sekarang, band rock terkenal Wings melangkah setapak lagi dengan melancarkan aplikasi Wings Mobile Apps, baru-baru ini sekali gus menjadi band tempatan pertama mempunyai aplikasi sendiri.

Apa yang pasti, Wings yang dianggotai Awie (penyanyi), Joe (gitar), Eddie (bass) dan Black (dram) mengikuti perkembangan teknologi semasa, sekali gus menjadi landasan meningkatkan jualan single dan album.

Lebih istimewa, aplikasi yang boleh dimuat turun secara percuma itu turut membolehkan peminat mengikuti perkembangan terkini Wings yang sudah tiga dekad berada dalam industri muzik tempatan terutama muzik rock.

Joe berkata, keputusan itu cukup tepat buat mereka kerana memiliki aplikasi sendiri boleh dikatakan satu keperluan terutama bagi sebuah band rock popular seperti Wings.

“Menerusi aplikasi ini, banyak perkara eksklusif boleh diakses peminat. Selain perkembangan terkini, peminat boleh melakukan pembelian lagu, album, tiket konsert, cenderahati selain maklumat lengkap mengenai sejarah Wings,” katanya.

Joe berkata, mereka menyasarkan sebanyak 5,000 muat turun aplikasi ini dan dianggarkan ia mampu mencecah dua atau tiga kali ganda pada bulan berikutnya.

Selain itu, pembelian album atau single Wings juga boleh dibuat dengan mudah menerusi pautan iTunes.

“Boleh dikatakan setiap pengisian mengenai Wings adalah yang terkini, selain memudahkan peminat termasuk Sayap-Sayap Wings terus ke pautan laman sosial kami, Instagram, Facebook dan Twitter Wings,” katanya.

Dalam masa yang sama, Wings turut melancarkan album live Wings Rockestra @ Istana Budaya yang diadakan pada 2013 lalu.

Diterbitkan dalam bentuk CD dan DVD, album berkenaan memuatkan 20 lagu untuk DVD, manakala versi CD sebanyak 16 lagu.

Ditanya mengapa mengambil masa lama untuk menerbitkan konsert berkenaan dalam bentuk album, Joe berkata, ia kerana mereka mahu memastikan hasilnya benar-benar bermutu.

“Ia persembahan ‘live’. Jadi kami mahukan ia betul-betul berkualiti. Kami mengambil masa yang lama terutama bahagian kerja penyuntingan serta adunan muzik,” katanya.

Dalam pada itu, Awie berkata, peminat bakal merasai konsert dalam album berkenaan sebagaimana penonton merasainya ketika menontonnya secara ‘live’ di Istana Budaya tidak lama dulu.

“Saya bangga sebab tidak ada sebarang benda pun diubah dalam setiap persembahan itu. Apa yang anda saksikan di Istana Budaya, itulah yang ada dalam album ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2015 @ 10:55 AM