AHMAD Shabery bersama barisan pemuzik Orkestra RTM pada sidang media baru-baru ini.
Oleh Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


Mencecah usia 54 tahun penubuhannya, tidak dapat dinafikan Orkestra RTM diiktiraf antara barisan pemuzik yang paling berpengaruh di negara ini.

Menampilkan barisan pemuzik hebat dan berpengalaman luas ia juga antara yang paling lama bertahan dalam bidang muzik tempatan dan sering membuat persembahan dalam pelbagai acara muzik di dalam dan luar negara.

Justeru, tidak hairanlah Orkestra RTM diundang buat kali ketiga untuk menjayakan Festival JAVA Jazz yang bakal berlangsung di Jakarta, Indonesia mulai Jumaat hingga Ahad ini.

Delegasi Orkestra RTM membabitkan seramai 24 pemuzik tempatan di bawah pimpinan Maestro Muzik yang juga Pengarah Muzik RTM Datuk Mokhzani Ismail.

Selaku pengarah muziknya Mokhzani berkata, pihaknya menganggap ia pengiktirafan tinggi untuk Orkestra RTM kerana diundang membuat persembahan pada festival muzik terkenal itu, sekali gus membawa nama negara ke peringkat antarabangsa.

“Kami akan berangkat ke Jakarta esok dan bakal membuat persembahan pada hari ketiga festival ­berkenaan iaitu Ahad ini.

“Apa yang menarik, kali ini Orkestra RTM yang turut menampilkan kumpulan Radio TV Malaysia Big Band bakal berkongsi pentas dengan penyanyi lagenda Indonesia Harvey Malaiholo,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai persembahan, kata Mokhzani, pihaknya akan menampilkan rangkaian 15 lagu termasuk bergabung dengan Harvey dalam persembahan selama 75 minit itu.

“Pada tahun pertama dulu, Orkestra RTM juga berdepan kesukaran daripada penganjur untuk mendapat platform ke festival bertaraf dunia itu.

“Namun, laluan kali ini lebih mudah bila kami bergabung dengan penyanyi legenda Harvey untuk menjayakan festival kali ini,” katanya.

Sementara itu, Harvey pula mengakui dia juga tidak ingin melepaskan peluang berkoloborasi dengan ­Orkestra RTM pada festival kali ini.

“Saya akui sukar menolak tawaran dari Orkestra RTM untuk menjayakan festival kali ini. Terus terang, saya dan Mokhzani sudah

kenal lama dan ia memudahkan kami untuk bekerjasama dalam festival ini,” katanya.

Festival yang berlangsung selama tiga hari itu bukan saja membariskan kumpulan pemuzik Jazz tersohor dunia, malah, turut disertai penyanyi ternama bertaraf antarabangsa seperti Jessie J, Chaka Khan dan Christina Perri.

Antara nama besar lain yang turut membuat persembahan nanti ialah Naturally 7, Keny Lattimore, Snarky Puppy, Chris Botti, Lisa Ono, Kahitna, Harvey Mason, Sheila On 7, Afgan dan ramai lagi.

Mengimbas latarnya, sepanjang 11 tahun penganjuran festival muzik jazz terbesar di dunia itu, Orkestra RTM terpilih menjadi kumpulan orkestra pertama yang diundang menyertai festival berkenaan buat pertama kalinya pada 2010 dan kali kedua pada 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2015 @ 10:47 AM