PSG (kanan) gagal kutip mata ketika seri berdepan Monaco Ahad lalu.

Paris: Paris Saint-Germain memburu tiga kejuaraan domestik ketika menanti kunjungan AS Monaco pada suku akhir Piala Perancis, awal pagi esok.

PSG kini menghuni tangga kedua Ligue 1, satu mata di belakang pendahulu Lyon selepas seri 0-0 dengan Monaco Ahad lalu, pasukan yang ditemui mereka buat kali kedua dalam tempoh empat hari.

Namun PSG tahu bagaimana mahu ke final di Stade de France selepas menempah tiket ke final Piala Liga Perancis menentang Bastia bulan depan.

PSG berdepan cabaran sengit awal pagi esok apabila menentang satu daripada beberapa pasukan utama liga.

Piala Perancis dianggap keutamaan buat presiden PSG Nasser al-Khelaifi kerana kelab gergasi Ligue 1 itu belum menjulang trofi itu dalam era pemilikan jutawan minyak Qatar itu.

Kecederaan dialami Thiago Motta (betis), Yohan Cabaye (paha), Serge Aurier (paha) dan Lucas (otot) selain penggantungan dua perlawanan dihadapi Zlatan Ibrahimovic, menyukarkan tugas kelab ibu negara itu.

Dalam konteks ini, Monaco dilihat menjadi pilihan, namun jurulatih Leonardo Jardim tidak memandang remeh cabaran lawan.

“Kami akan cuba beraksi dengan baik. Kami lebih letih berbanding PSG dan skuad kami tidak besar. Kami mempunyai 18-19 pemain dan dua penjaga gol. Di pertahanan, dua pemain kami cedera dan dua lagi digantung. Kami perlu mencari jalan, tapi boleh menanganinya,” jelas pengendali Portugis itu.
- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2015 @ 8:51 AM