Kaherah: Sebuah mahkamah di Mesir semalam menangguhkan pilihan raya Parlimen negara itu selepas Mahkamah Agung Perlembagaan memutuskan undang-undang pilihan raya bercanggah dengan perlembagaan.

Keputusan Hakim Mahkamah Pentadbiran, Yahia Dakrouri sudah dijangka susulan keputusan mahkamah tertinggi itu minggu lalu.

Mahkamah Agung Perlembagaan mengisytiharkan undang-undang yang membahagikan daerah pengundian bercanggah dengan perlembagaan Mesir.

Selepas keputusan itu suruhanjaya pilihan raya Mesir memberitahu bahawa, pihaknya menetapkan tarikh baru untuk pilihan raya berkenaan.

Kerajaan Mesir juga berusaha membuat draf undang-undang baru pilihan raya itu.

Berapa lama pindaan undang-undang berkenaan akan diluluskan masih belum dapat dipastikan lagi, tetapi pilihan raya berkenaan dijangka ditangguhkan selama beberapa minggu.

Pilihan raya Parlimen Mesir sebelum ini dijadualkan diadakan secara berperingkat bermula 22 Mac ini.

Proses demokrasi berkenaan adalah fasa peralihan terbaru yang dirangka susulan tindakan tentera menumbangkan pemerintahan Presiden Mohammed Mursi pada 2013.

Mesir tidak memilih ahli Parlimen sejak 2012 selepas Mahkamah Agung Perlembagaan memutuskan Dewan Rendah Parlimen negara itu dilantik secara tidak sah.

Beratus-ratus pengikut Mursi mengepung mahkamah selepas hakim dijangka memutuskan keputusan serupa terhadap Dewan Tinggi.

Dua fasa peralihan pertama bermula dengan pungutan suara bagi merangka perlembagaan baru pada 2014 diikuti pilihan raya presiden yang dimenangi ketua angkatan tentera, Abdel-Fattah el-Sisi.

Mursi mewakili pergerakan Ikhwanul Muslimin dilantik sebagai presiden selepas memenangi pilihan raya parlimen pada 2011.

Pilihan raya parlimen itu yang pertama sejak diktator Hosni Mubarak ditumbangkan kebangkitan rakyat.

Ikhwanul Muslimin diisytiharkan sebagai organisasi pengganas dan beribu-ribu pengikut termasuk pemimpin kumpulan itu kini dihukum penjara. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2015 @ 7:54 AM