ANTARA babak menarik dalam filem Werewolf Dari Bangladesh karya terbaru Mamat.
ANTARA babak menarik dalam filem Werewolf Dari Bangladesh karya terbaru Mamat.
ANTARA babak menarik dalam filem Werewolf Dari Bangladesh karya terbaru Mamat.
ANTARA babak menarik dalam filem Werewolf Dari Bangladesh karya terbaru Mamat.
ANTARA babak menarik dalam filem Werewolf Dari Bangladesh karya terbaru Mamat.
Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


Berbicara mengenai acuan filem bergenre komedi, setakat ini pengarah yang sinonim dengan karya kreatif dan tak ‘kering gusi’ pastinya Mamat Khalid. Ada saja idea Mamat untuk menghasilkan filem mencuit hati penonton.

Selepas taruhan pertama Mamat untuk 2015 ini ialah Rumah Pusaka Di Simpang Jalan yang ditayangkan pada 1 Januari lalu, kini Mamat tampil lagi dengan filem Usop Wilcha Dalam Werewolf Dari Bangladesh.

Dibarisi pelakon terkenal seperti Shy 8 atau Usop Wilcha sebagai Usop, Zizan Razak (Pilun), Saiful Apek (Mirdu), Emma Maembong (Jeynab), Rab Khalid (Yeh Sekupang), Ahmad Maembong (Jacob) dan ramai lagi, filem ini akan menjengah pawagam mulai 5 Mac nanti.

Menariknya, filem ini selain plot cerita yang mantap dengan elemen komedi, Mamat juga bekerjasama dengan beberapa pelakon pada kalangan warga bangladesh yang datang ke negara ini mencari rezeki.

Berbicara soal kerjasama itu, Mamat berkata ia satu cabaran baru baginya kerana menggunakan khidmat beberapa warga bangladesh sebagai pelakon. Katanya dia juga menyediakan penterjemah untuk membantu.

“Memandangkan skrip dalam bahasa Melayu, saya perlukan khidmat penterjemah untuk membantu membuat penterjemahan kepada barisan pelakon Bangladesh dipilih. Ia bagi memudahkan kerja.

“Secara tidak langsung, dengan menterjemah­kan skrip kepada bahasa digunakan warga Bangladesh itu, memberi ruang kepada mereka memahami kehendak watak dilakonkan masing-masing,” katanya.

Memaklumkan filem Usop Wilcha Dalam Werewolf Dari Bangladesh itu memakan masa 27 hari penggambaran, Mamat juga mengakui dia cukup teliti dalam olahan skripnya. Apatah lagi, elemen komedi dimuatkan.

Mengulas soal pemilihan pelakon, Mamat berkata dia menggunakan khidmat beberapa warga Bangladesh dalam filem itu sebagai memberi rasa untuk karya diketengahkan.

“Tujuan saya jalinkan kerjasama sekadar menghormati kesungguhan mereka sanggup meninggalkan tanah air dan keluarga untuk berhijrah mencari rezeki di negara ini.

“Lagipun, sudah menjadi kebiasaan filem membabitkan kisah werewolf (serigala jadian) yang pernah ditonton lebih ke arah Hollywood, jadi kali ini saya cuba garapkan kisah itu dari Bangladesh pula,” katanya.

Berbicara soal bakat lakonan dilihatnya ada pada diri pelakon Bangladesh dipilih, Mamat berkata ketika berkunjung ke rumah sewa mereka untuk mengenali gaya hidup harian didapati banyak foto Datuk Shahrukh Khan (SRK).

“Tahulah saya, mereka adalah peminat SRK dan mungkin masing-masing barangkali turut menyimpan impian mahu menjadi sehebat dan popular seperti SRK,” katanya pada sidang media diadakan.

Memaklumkan filem itu menelan belanja pembikinan sebanyak RM1.8 juta, Mamat berkata pengalaman bekerja dengan pelakon Bangladesh itu selain masalah bahasa, disiplin mereka juga agak sukar diatur.

“Pun begitu, dari aspek komitmen mereka tak dinafikan saya berpuas hati kerana mereka sangat bagus. Bahkan, mereka boleh tahan bekerja di lokasi sehingga jam 4 pagi.

“Saya juga dapati sebagai pelakon kemunculan baru minat mereka untuk terbabit dalam industri seni sangat besar. Mereka bersungguh-sungguh dalam memahami kehendak karakter dilakonkan,” katanya.

Mamat berkata selain berusaha memvariasikan karyanya dengan jalinan kerjasama pelbagai kaum, dia berkata mesej cuba disampaikan ialah masyarakat tempatan diingatkan jangan suka pandang rendah pada warga asing.

Jelasnya lagi, warga asing ini juga manusia biasa dan mereka pasti dikurniakan Allah SWT dengan kekuatan tersendiri. Jadi, seharusnya mereka juga perlu dihormati sewajarnya.

Mamat berkata meskipun mereka bukan masyarakat tempatan dan datang ke negara ini untuk bekerja, tetapi sikap memandang rendah pada orang lain perlu dielak,” katanya turut memberi penekanan kepada susunan muzik dipilih.

Sinopsis ‘Usop Wilcha Dalam Werewolf Dari Bangladesh’

Sebagai karya kedua terbitan Ariabella Sdn Bhd, filem ini mengetengahkan kisah yang bermula kira-kira 20 tahun lalu apabila Mirdu (lakonan Saiful Apek), seorang warga Bangladesh diserang seekor serigala.

Disebabkan serangan itu, ia mengakibatkan berlaku perubahan fizikal ke atas diri Mirdu apabila dia mampu bertukar menjadi haiwan.

Tidak hanya pada fizikal, tingkah laku Mirdu juga menjadi ganas dan kejam hingga ramai penduduk kampung menjadi korban kerakusannya. Akhirnya, penduduk kampung hilang sabar.

Mereka bersatu mengambil keputusan membakar rumah Mirdu. Namun, marah dengan kekejaman ke atas dirinya Mirdu bertindak menggigit anak kembar Kumba (Muhamad Ikhwan) dan Kumbi (Muhamad Azwan).

Jangkitan wabak itu terus tersebar meskipun Mirdu sudah ditembak mati. Secara tidak langsung ia disebar hingga ke Malaysia.

Di Malaysia, Usop Wilcha (Shy 8) yang baru berpindah ke kawasan baru bersama Wahab B (Sharwani NS) bertemu dengan Jaynab Ramung­gei (Emma Maembong) dan mereka tinggal berjiran.

Selain itu, mereka juga menjalankan perniagaan bersama-sama di sebuah medan selera. Bagaimanapun, ketika itu wabak ‘werewolf’ sudah mula merebak di kawasan itu.

Kumbi yang sudah dewasa berada di Malaysia dan menagih cinta dengan Jaynab untuk matlamatnya mengembangkan pembiakan baka ‘werewolf’.

Ia bertujuan mahu mele­nyapkan spesies manusia di muka bumi. Namun, semua agenda jahat Kumbi itu sudah diketahui Pilun (Zizan Razak).

Pilun, seorang pekerja asing tanpa izin warga Bangladesh yang bekerja di gerai Usop, sebenarnya berusaha memberitahu majikannya mengenai kewujudan ‘werewolf’. Tetapi, usaha itu sentiasa gagal.

Dapatkah Pilun menyelamatkan majikannya dan juga masyarakat setempat daripada terkena jangkitan wabak ‘werewolf’ yang disebarkan Kumbi? Semua jawapan ada dalam filem ‘Usop Wilcha Dalam Werewolf Dari Bangladesh’.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 11:42 AM