Oleh Hafiz Ithhin
hafizithnin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan bercadang membuat pelarasan dalam konsep kerjasama awam swasta termasuk dana kemudahan projek kerjasama awam-swasta (PPP) di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) bagi membolehkan dana berkenaan digunakan secara lebih efektif.

Dana kemudahan PPP diwujudkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) bagi menyokong pembangunan projek berimpak tunggi yang mana sehingga sepuluh peratus daripada nilai pembangunan kasar (GDV) disumbangkan dana berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, setakat ini sejumlah RM11.2 bilion nilai dana kemudahan PPP disalurkan kepada projek berimpak tinggi dan diwujudkan dalam bentuk geran.

Beliau berkata, bagi RMK-11, dana itu akan ditukarkan kepada bentuk lain seperti sub ekuiti yang membolehkan pengurangan modal pembangunan projek usaha sama berkenaan.

“Antara 1983 hingga 2014, sejumlah 698 projek PPP dalam pelbagai sektor ekonomi dimeterai yang mana ia menjimatkan modal dan perbelanjaan operasi kerajaan sehingga RM204.9 bilion. Penswastaan aset kerajaan juga memberi pulangan RM6.5 bilion kepada kerajaan.

“Di peringkat global, PPP sebagai pemacu projek infrastruktur seperti pengangkutan, janakuasa dan bekalan air yang secara tradisionalnya dilaksanakan oleh kerajaan kini beralih kepada konsep kerjasama,” katanya pada Persidangan Pengarah Antarabangsa 2015 (IDS 2015) di sini, semalam.

Persidangan itu yang dianjurkan Razak School of Government (RSOG) dan Malaysia Director Academy (MINDA) berlangsung pada 2 hingga 3 Mac ini yang menyasarkan pembabitan golongan profesional berkepentingan dari kerajaan, swasta dan sektor perniagaan untuk membincangkan isu terkini dan PPP.

Antara projek PPP yang sudah dibangunkan dan memberi pelbagai manfaat ialah gabungan Pelaburan Hartanah Bhd (PHB), KPJ Healthcare Bhd (KPJ) dan Nadayu Properties Bhd (Nandayu) bagi membangunkan tanah rizab Melayu di Sungai Penchala.

Abdul Wahid berkata, PPP bagi RMK-11 turut mengenal pasti konsep pengguna bayar berbanding pembiayaan sepenuhnya daripada kerajaan, namun ia masih di peringkat perbincangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 9:28 AM