PASUKAN Anak Kedayan muncul juara WAITGC 2014.
Oleh Kamarulzaman Pid
kamarulzaman_pid@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pasukan Anak Kedayan dari Brunei yang menjulang juara keseluruhan Kejohanan Golf Amatur Berpasukan Dunia (WAITGC) tahun lalu, bakal mempertahankan kejuaraan mereka bermula dengan sirkit pertama WAITGC 2015 di Johor Bahru bermula 9 hingga 12 Mac ini.

Hajat pasukan itu yang dianggotai Shaiful Rizal, Md Khairul Sirajul, Suhaimi Ibrahim dan juara individu WAITGC 2014, Mohamed Qawim, bagi mempertahankan mahkota kejohanan bakal ditentang 24 pasukan lain dalam sirkit berkenaan.

Anak Kedayan muncul juara sirkit pertama WAITGC 2014 yang berlangsung di lapangan golf IOI Palm Villa Golf Country Club (GCC) dan Horizon Hills GCC, sebelum membuktikan kejaguhan dengan menjulang kejuaraan keseluruhan pada grand final yang berlangsung di Kelab Golf Tiara, Melaka.

Dalam saingan itu, mereka mencatat 702 pukulan sepanjang tiga hari kejohanan, satu pukulan mengatasi pasukan Beijing Bay Club dari China.

Ketua pasukannya, Shaiful Rizal berkata, meskipun lapangan golf di Tanjung Puteri GC dan Horizon Hills GCC menjadi lokasi kegemaran, saingan sengit pasti menanti mereka.

“Sememangnya kami datang ke Johor Baharu dengan status berbeza. Bertanding atas gelaran juara bertahan memberikan sedikit tekanan tetapi kami yakin, ia tidak akan mengecewakan,” katanya.

Selain Johor, WAITGC edisi ke-22 juga dilangsungkan di Sabah, Pulau Langkawi, Kuala Lumpur dan Melaka.

Kejohanan bertujuan mempromosi Malaysia sebagai destinasi golf pilihan itu dianjurkan Persatuan Pengurus-Pengurus Kelab Golf Malaysia (GCMAM) yang telah diberi kepercayaan Tourism Malaysia sejak 2004.

Dalam perkembangan sama, Setiausaha Kehormat GCMAM, Mohamad Ishak berkata, buat pertama kali, lokasi grand final akan dilangsungkan di dua lapangan berbeza iaitu The Mines GCC dan Sungai Long GCC.

“Ia memberikan cabaran berbeza dan pada masa sama memberi mereka peluang beraksi di antara lapangan golf terbaik di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, syarikat penerbangan antarabangsa, Emirates, menawarkan dua tiket penerbangan kelas bisnes ke Melbourne pada setiap sirkit bagi pemain yang berjaya melakukan pukulan hole-in-one, selain empat tiket pergi balik dari Kuala Lumpur ke Dubai kepada juara keseluruhan di grand final.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 7:40 AM