Kaherah: Suruhanjaya pilihan raya Mesir semalam memberitahu, pihaknya akan menyediakan jadual baru untuk pilihan raya Parlimen negara itu.

Pengumuman itu membayangkan pilihan raya yang dijadualkan pada 21 Mac ini mungkin ditunda selepas sebuah mahkamah mengisytiharkan sebahagian undang-undang pilihan raya bercanggah dengan perlembagaan.

Pejabat Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi berkata, pemimpin itu mengarahkan undang-undang berkenaan dirangka semula dalam tempoh sebulan.

Mahkamah Perlembagaan Mesir memutuskan sebahagian undang-undang yang membahagikan wilayah pengundian sebagai bercanggah dengan perlembagaan.

Mahkamah itu juga dijangka memutuskan sama ada akan menangguhkan pilihan raya berkenaan secara rasmi atau tidak.

Sejurus keputusan mahkamah itu, panel pilihan raya berkata, bahagian undang-undang yang dianggap mahkamah bercanggah dengan perlembagaan itu akan disemak semula.

Beberapa peguam memfailkan rayuan mempertikaikan undang-undang itu kerana mendakwa ia gagal membahagikan wilayah yang sepatutnya dapat mewakili pengundi secara adil.

Menurut pejabat Presiden, undang-undang itu mungkin dapat digubal sebelum pilihan raya bermula. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2015 @ 7:16 AM