Keadaan traktor dan kereta yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan bomba
Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop
am@hmetro.com.my

Teluk Intan: Seorang lelaki berusia 33 tahun maut, manakala isteri serta tiga anaknya cedera selepas kereta Perodua Kancil dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah traktor kilometer 14 Jalan Teluk Intan -Chenderong Balai, di sini.

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, mangsa, Dasril Anshuar, maut di tempat kejadian selepas tersepit di tempat duduk pemandu, manakala isteri serta tiga anaknya cedera di beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada traktor yang membelok masuk ke jalan utama tanpa melihat kenderaan mangsa yang datang dari jalan utama.

Katanya, polis terpaksa meminta bantuan bomba untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu sebelum berjaya dikeluarkan beberapa minit selepas itu.

"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan untuk dibedah siasat manakala isteri serta tiga anaknya menerima rawatan di hospital sama. Kes disiasat mengikut seksyen 41(1) APJ 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2015 @ 4:35 PM
Skip this ad x