PENYIASAT Russia memeriksa mayat Nemtsov.
Agensi

Moscow: Tokoh pembangkang Russia Boris Nemtsov ditembak mati tidak jauh dari Kremlin di tengah Moscow awal pagi semalam.

Nemtsov, 55, pengkritik lantang Presiden Vladimir Putin dan penentang pembabitan Russia dalam perang di Ukraine ditembak empat kali di belakang oleh sekumpulan lelaki menaiki kereta putih ketika dia menyeberang jambatan yang merentasi Sungai Moskva bersama-sama seorang wanita Ukraine.

Dia menjadi tokoh pembangkang terkenal setakat ini yang mati dibunuh sepanjang Putin menjadi pemimpin Russia sejak 15 tahun lalu.

Dalam pada itu, Kremlin bertindak serta-merta untuk menafikan pembabitan dalam pembunuhan berkenaan.

Putin mengecam kejadian itu dengan menyifatkannya sebagai ‘kejam.’

Pembunuhan itu berlaku sebelum tunjuk perasaan besar-besaran pembangkang yang diketuai Nemtsov hari ini.

Beberapa tokoh pembangkang yang menentang pemerintahan Putin dipenjara atau melarikan diri selepas tunjuk perasaan besar-besaran menentang pemimpin Russia itu tiga tahun lalu.

Nemtsov yang ditembak mati selepas makan malam di sebuah restoran di Red Square pernah berkata, dia bimbang Putin mungkin mahukan dia mati kerana tentangannya terhadap pembabitan Russia dalam konflik Ukraine.

Tunjuk perasaan hari ini diadakan untuk membantah krisis di timur Ukraine, tempat pemberontak pro-Russia menawan sejumlah besar wilayah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2015 @ 5:09 AM