DI puncak Gunung Gayong.
KESEMPATAN berehat di kawasan kem.
PEMANDANGAN gunung yang sempat dirakam.
RIAK ceria peserta mengikuti misi.
PENULIS (dua dari kiri) bergambar di satu puncak.
Oleh Muhammad Rahimi Shaharudin
metahad@hmetro.com.my

Tiada seketika ruang untuk menghela nafas lega dalam misi kembara tiga puncak tertinggi Banjaran Titiwangsa-Gunung Korbu, Gunung Gayong dan Gunung Yong Belar yang berketinggian lebih 2,100 meter (7,000 kaki) dari aras laut.

Perjalanan itu antara misi getir dilalui sembilan ahli Kelab Kembara dan Rekreasi Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), KRISEN dalam usaha menakluki tujuh gunung tertinggi (D7) Banjaran Titiwangsa.

Tiga gunung ini dikategori sebagai 'hardcore' dalam kalangan peminat tegar sukan mendaki, membuatkan penulis menjangkakan pelbagai cabaran mendatang sepanjang enam hari misi berkenaan.

Ekspedisi bermula dari Empangan Sultan Azlan Shah di Hulu Kinta, Ipoh, Perak merentasi tiga puncak gunung sebelum berakhir di Empangan Blue Valley, Cameron Highlands, Pahang.

Pada hari pertama, kesempatan berehat di kem Seroja di kaki Gunung Korbu sangat diperlukan kerana keesokannya cabaran lebih getir menanti peserta kembara. Cuaca ketika misi saban hari hujan, bayangan kesukaran berganda untuk menakluki puncak Gunung Korbu keesokan harinya.

Merentasi trek masuk hari kedua iaitu menuju ke puncak Gunung Korbu benar-benar menguji kemampuan pendaki. Trek kali ini yang mencanak, cuaca lembab daripada biasa, suhu rendah serta diiringi hujan dan keadaan berangin ada kalanya menyebabkan rakan misi sedikit goyah.

Mujur perjalanan panjang itu diserikan dengan bahan jenaka serta celoteh peserta, sekali gus mengurangkan tekanan sepanjang perjalanan. Mendaki bukan membabitkan kekuatan fizikal semata-mata, sebaliknya ia didorong dengan sokongan kecekalan mental bagi memastikan misi Trans Titiwangsa KRISEN yang berlangsung enam hari ini mencapai objektif.

Selama enam hari misi berlangsung, paling tidak dilupakan ialah perjalanan hari kedua. Maklumlah, pendaki terpaksa menghempas pulas menghadapi perjalanan yang mencanak selain trek berselut dan licin.

Tidak cukup sekadar itu, pendaki terpaksa mengerah tenaga untuk memanjat lereng tinggi. Malah, kewujudan akar pokok melingkar antara halangan perlu dilepasi sebelum berjaya sampai ke puncak selain turut diduga dengan cuaca kurang baik, sekali gus membuatkan pendaki terlepas peluang menyaksikan panorama senja ketika sampai di puncak.

Cabaran hari ketiga ialah misi menawan Puncak Gunung Gayong yang mengambil masa lebih kurang dua jam. Panorama hijau sungguh mengujakan apabila disajikan dengan keindahan suasana lumut yang menyelaputi batang dan dahan tua di sepanjang laluan.

Selain penulis, rakan dari KRISEN, Muhamad Hafiz Hakimi Marzuki, 21, turut berkongsi pengalaman pendakian. Katanya, berbanding misi mendaki Gunung Tahan iaitu gunung tertinggi di Semenanjung di Banjaran Titiwangsa, ekspedisi Trans Titiwangsa kali ini jauh lebih perit.

Kata Hakimi, detik paling kekal pada ingatannya ialah ketika misi ke Gunung Junction. Dia bertindak sebagai 'sweeper' yang memastikan setiap peserta di kelompok akhir sampai ke lokasi perhentian yang ditetapkan.

"Julung kali dalam satu-satu misi saya berjalan 15 jam tanpa henti. Bayangkan kami bergerak seawal jam 8 pagi dan seketika saya berperanan selaku 'sweeper' ketinggalan, menyebabkan kami terpaksa bertahan sehingga jam 1 pagi ke kem seterusnya.

"Biarpun luar biasa, selaku pendaki berpengalaman, saya menjangkakan itu antara cabaran perlu dihadapi. Tambah pula hari terbabit cuaca buruk seperti hujan lebat serta berguruh, tentu saja perjalanan menjadi lambat selain kekangan keadaan sekitar gelap.

"Namun 'alah bisa tegal biasa', kami pendaki dilatih meneruskan perjalanan ke kem seterusnya disebabkan ia menjamin keselamatan berbanding berhenti di sebarangan tempat," katanya.

Tambahnya, kurang latihan intensif dalam kalangan ahli ekspedisi menyebabkan perjalanan kembara kali ini lebih panjang daripada biasa.

"Tidak dinafikan sebagai 'sweeper', saya perlu mengendali ahli kumpulan yang hampir 'menyerah kalah' di pertengahan jalan. Keadaan trek yang mencabar, ditambah pula dengan keadaan cuaca buruk, menyebabkan peserta mengalami 'mental breakdown'.

"Selaku individu yang menjaga mereka, saya perlu membantu, termasuk meringankan beban selain memastikan peserta sampai ke tempat selamat," katanya.

Peserta wanita, Nurul Atikah Zulkifli, 24, mengakui latihan tidak mencukupi boleh memberi kesan terhadap stamina sepanjang pendakian.

"Saya tidak melakukan latihan sesuai untuk persiapan mendaki gunung terbabit. Justeru mudah berasa penat, menyebabkan tempoh perjalanan diambil lebih lama daripada sepatutnya. Lain kali saya akan membuat persiapan lengkap bagi memastikan dapat kekal cergas sepanjang pendakian," katanya.

Menurut Atikah, trek itu sukar apabila mendaki selain liku tajam memberi risiko kepada pendaki ekspedisi berkenaan.

"Setiap gunung mempunyai ciri permukaan tersendiri. Perbezaan itu membuatkan perjalanan ini tidak pernah bosan. Seperti trek ke Gunung Junction, saya rasa mencabar kerana hujan lebat selain guruh membuatkan perjalanan kami perlahan disebabkan suhu terlalu sejuk.

"Ketika ekspedisi ke Kem H2O pula pada hari keempat, meskipun trek menuruni puncak dan melalui kawasan permatang, beberapa cerun bersebelahan gaung yang sangat berbahaya menyebabkan masa untuk sampai ke tapak kem lebih enam jam.

"Namun setiap perjalanan adalah menyeronokkan dan paling memberi kepuasan sebaik kami berjaya menjejak Gunung Yong Balar kerana itu menandakan penutupan puncak yang perlu kami tawan.

"Misi seterusnya, saya menantikan ekspedisi menawan baki dua lagi puncak tertinggi Sememanjung iaitu Gunung Ulu Sepat dan Chemah, di Kelantan.

"Buat pendaki, kami perlu bersedia serta sentiasa melengkapkan diri dengan keperluan baik pakaian sesuai, ubatan serta bekalan makanan cukup selain latihan mental serta fizikal menjelang misi seterusnya," katanya.

Sementara itu, nasihat jurupandu akspedisi terbabit, Salahuddin Husaini, amalan rekreasi seperti mendaki satu baik, namun perlu diingatkan etika serta tertib perlu ada dalam setiap diri pendaki.

"Prosedur serta tertib setiap kali menyertai atau menganjurkan ekspedisi pendakian adalah cukup penting. Ia penting membolehkan pendaki ini dapat menjalani ekspedisi dengan selamat.

"Antara penting mendapatkan permit pihak berkenaan. Dalam ekspedisi ini,kami perlu membuat permohonan kepada Lembaga Air Perak kerana perlu melalui kawasan empangan sebelum menuju pintu rimba.

"Taklimat ringkas turut kami adakan memastikan setiap peserta memahami garis panduan keselamatan selain peraturan membabitkan amalan konservasi alam. Pendaki perlu lebih bertanggungjawab menjaga persekitaran kawasan pendakian serta elak melakukan sesuatu boleh merosakkan flora atau fauna dalam hutan ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2015 @ 5:06 AM