YAMAHA NMAX.
Oleh Erywan Norshal
erywan@hmetro.com.my

Nampaknya negara jiran kita, Indonesia menerima model terbaru motosikal kategori skuter menerusi Yamaha NMAX pada bulan lalu.

Perkara itu didedahkan oleh Yamaha Motor Co Ltd, yang mana jentera berkenaan menerima sentuhan warisan siri skuter Yamaha MAX apabila sungguh popular di pasaran Eropah sejak diperkenalkan 15 tahun lalu.

Ia membabitkan rangkaian model Yamaha TMAX 530 cc, diikuti oleh XMAX dengan enjin 400 cc, 250 cc dan 125 cc.

Bagaimanapun, Yamaha NMAX yang diperkenalkan di Indonesia dijanakan oleh rangkaian kuasa bersesaran 155 cc dengan sistem penyejukan cecair berasaskan konsep 'Blue Core'.

Tenaga yang dihasilkan mampu menyalurkan 11.1 kilowatt (kW) pada 8,000 rpm, manakala tork setinggi 14.4 Nm pada 6,000 rpm.

Model itu dibangunkan dengan konsep 'Global Prestige City Commuter' yang menawarkan aspek pengendalian sporty dan praktikal.

Yamaha NMAX menggunakan kerangka ringan dan tahan, selain menggunakan rim 13 inci untuk memberi pengendalian terbaik.

Ia juga menjadi motosikal pertama di peringkat Asean yang dilengkapi Sistem Brek Antikunci (ABS).

Jentera berkenaan dipasang di kilang Yamaha Indonesia Motor Manufacturing yang dibangunkan sebagai sebuah model global untuk sasaran pasaran Asean dan negara membangun.

Yamaha NMAX dijangka ditawarkan pada harga 24.7 juta rupiah (kira-kira RM7,700) dengan sasaran jualan 12,000 unit pada tahun ini.

Di Malaysia, tiada lagi khabar angin lagi sama ada Hong Leong Yamaha Motor akan membawa masuk Yamaha NMAX atau sebaliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2015 @ 5:02 AM