Oleh Ustaz Haslin Baharin

Saya bertunang pada Disember tahun lalu dan menetapkan wang hantaran sebanyak RM7,000, malah dipersetujui oleh bapa. Ketika pertunangan, hal ini dimaklumkan kepada pihak lelaki.

Selepas sebulan pertunangan, ibu mengatakan dia menginginkan wang hantaran berkenaan tetapi saya hanya mendiamkan diri. Masalah terjadi apabila ibu pulang daripada menghadiri majlis perkahwinan anak rakannya di kampung berdekatan dan mendapat tahu anak rakannya menerima wang hantaran RM17,000 serta cincin berlian.

Kemudian, ibu bertanya saya kenapa letak jumlah wang hantaran hanya RM7,000 dan siapa bertanggungjawab menetapkan jumlah itu.

Saya terangkan kepadanya, saya enggan membebankan pihak lelaki dengan meletakkan wang hantaran yang tinggi. Mendengar jawapan saya, ibu terus mengatakan saya anak derhaka dan membelakangkannya.

Salahkah keputusan yang saya ambil dan adakah tindakan itu menjadikan saya anak derhaka?

WANI, Bukit Mertajam

Perlu diketahui, mahar adalah pemberian suami yang wajib kepada isteri dan pemberian ini hak mutlak isteri, bukan milik wali atau ibunya.

Sebagaimana firman Allah SWT bermaksud: “Dan berikanlah mahar (mas kahwin) kepada perempuan yang kamu nikahi sebagai pemberian yang penuh kerelaan.” (surah an-Nisaa’, ayat 4)

Oleh itu, ada negeri meletakkan had minimum mahar sesuai dengan keadaan sesuatu tempat. Kebanyakan masyarakat meletakkan mahar dan hadiah tambahan, termasuk hantaran ini disekalikan dalam akad nikah, jadi nilainya kelihatan banyak.

Dua kaedah menentukan mahar iaitu mahar mithil dengan mengambil contoh mahar adik-beradik atau keluarga terdekat, dan mahar musamma iaitu yang dipersetujui kedua-dua pihak dalam akad nikah.

Bagi menetapkan wang hantaran, sebaik-baiknya wali atau orang tengah berbincang ketika majlis pertunangan atau ketika bertunang.

Ketika itulah muafakat tarikh walimah, wang mahar, wang hantaran, hadiah, perbelanjaan walimah dan pelbagai perkara yang perlu disepakati atas dasar reda-meredai.

Perlu ingat pesanan Rasulullah SAW bermaksud: “Antara kebaikan wanita adalah mudah meminangnya, mudah mahar­nya dan mudah rahimnya (mudah melahirkan).” (Hadis Riwayat Ahmad)

Kemudian, hendaklah menepati janji apa yang disepakati kedua-dua pihak. Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang beriman, tunaikan serta sempurnakan perjanjian kamu.” (surah al-Maidah, ayat 1)

Oleh itu, sesuatu perjanjian, termasuk untuk berkahwin, yang dibuat ketika bertunang tidak boleh ditamatkan melainkan ada alasan munasabah.

Saudari tidak perlu risau dengan tuduhan anak derhaka selagi tindakan saudari mengikut saranan Allah SWT dan Rasul-Nya SAW.

Tidak wajar seorang ibu mengatakan anaknya derhaka. Ibu sedemikian seakan-akan mahu anaknya masuk neraka, yang pasti mengundang murka Rasulullah SAW yang menginginkan semua umatnya masuk ke syurga.

Oleh itu berdoalah supaya ibu mendapat hidayah selain cuba fahamkan ibu mengenai kehendak Islam dalam masalah penentuan mahar atau mas kahwin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2015 @ 12:56 AM