DE Paula dapat kepercayaan Durakovic menentang The Fighters.
Oleh Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Guilherme de Paula tetap menjadi taruhan pengendali Selangor Mehmet Durakovic untuk menggegar gawang FELDA United di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) walaupun penyerang import dari Brazil itu belum meledak sebarang gol dalam tiga aksi awal Liga Super.

Merah Kuning berdepan misi sukar malam ini apabila menentang The Fighters pada pusingan kedua Piala FA dengan pemenang melangkah ke pusingan ketiga.

Durakovic berkata, beliau tidak merancang meletakkan De Paula di bangku simpanan apabila tetap menaruh kepercayaan kepada penyerang itu dengan harapan dia mampu membantu pasukan dan meledak jaringan sulung bersama Selangor.

“Dia akan mengetuai jentera serangan. Seperti pemain lain, saya lihat dia berusaha keras dalam sesi latihan. Selagi dia berusaha, jaringan yang dinantikan akan terhasil.

“Ini antara asam garam bola sepak. Saya yakin akan hadir,” kata pengendali dari Australia itu.

Selangor berdepan laluan getir apabila naib juara Piala FA 2014, FELDA United kendalian Irfan Bakti Abu Salim berada pada prestasi terbaik dengan mengungguli kedudukan teratas Liga Super selepas meraih dua kemenangan dan satu seri selain meledak lapan gol.

“Lawan kami mantap dengan kombinasi pemain berpengalaman. Malah mereka sudah lama bermain sebagai sebuah pasukan. Namun saya lebih gemar memberi fokus kepada pasukan sendiri.

“Saya gembira dengan corak permainan kami ketika mengikat Pahang dan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dan saya harap mampu mengulanginya walaupun ada pemain yang cedera seperti Azmi Muslim.

“Kami akan cuba berikan corak permainan menarik yang mampu meledak jaringan. Peluang dicipta perlu dimanfaatkan sepenuhnya andai mahu melangkah jauh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Februari 2015 @ 5:25 AM