AFP

London: Menggabungkan deria memburu dengan pendekatan pejuang jalanan ketika menangani pertahanan lawan, Diego Costa (gambar) dianggap pemain paling berjaya bagi Jose Mourinho.

Dibawa masuk dari Atletico Madrid untuk £32 juta (RM178 juta) oleh Mourinho yang menyedari semangat kental pemain Sepanyol kelahiran Brazil itu.

Costa memiliki segala-galanya yang diperlukan pengurus Chelsea itu untuk memenangi perlawanan dalam kancah bola sepak Inggeris.

Jika Didier Drogba menjadi instrumen Mourinho untuk membelasah pemain lawan ketika menjadi pengurus Chelsea buat kali pertama, kali ini tanpa ragu-ragu Costa bakal memainkan watak utama untuknya pada perlawanan akhir Piala Liga menentang Tottenham di Wembely, Ahad ini, senjata yang menurut Mourinho, jauh lebih berkesan.

Selepas menghabiskan kebanyakan musim pertama mengeluh mengenai kekurangan pilihan dinamik di bahagian serangan, Mourinho jelas terpaku dengan cara Costa bermain ketika Chelsea tewas kepada Atletico Madrid pada separuh akhir Liga Juara-Juara musim lalu.

Selepas menerima hadangan keras John Terry yang dilakukannya dengan niat untuk mencederakan, Costa membalas kembali perbuatan itu dengan melancarkan beberapa serangan balas ganas.

Tindakan berani Costa itu berpunca daripada keinginannya untuk bangkit daripada kehilangan masa kerana permulaan perlahan kerjayanya.

Berbekal 27 gol, Costa menjadi kunci utama kejayaan Atletico menjuarai La Liga musim lalu dan dia juga membantu Atletico Madrid itu muncul naib juara Liga Juara-Juara.

Costa melonjakkan Blues ke persada Liga Perdana Inggeris dengan 17 gol daripada 20 penampilan, ketika pada masa sama menerima kritikan hebat selepas digantung tiga perlawanan kerana memijak pemain Liverpool Emre Can pada separuh akhir Piala Liga.

“Saya gembira bermain untuk Chelsea, tapi ada masanya saya mengecewakan dan membuat ramai pihak berasa jengkel,” katanya.

“Saya akan berjuang untuk setiap bola, setiap gol dan dalam melakukannya saya akan digantung.

“Tapi saya berjanji akan memenangi lebih banyak mata untuk anda berbanding tahun lalu dan kita akan menang trofi.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Februari 2015 @ 5:16 AM