RONALDO atasi Messi dengan tiga jaringan.
AFP

Madrid: Juara Eropah, Real Madrid bertekad mengekalkan rekod kemenangan apabila menanti kunjungan Villareal di Santiago Bernabeu, esok.

Kekalahan mengejut 0-1 Barca kepada Malaga hujung minggu lalu membolehkan Real mendapat kelebihan besar hasil kemenangan 2-0 ke atas Elche.

Pemain Terbaik Dunia, Cristiano Ronaldo menjaringkan gol kedua pasukannya di Martinez Valero untuk mengakhiri tiga perlawanan La Liga tanpa sebarang jaringan selain mengatasi Lionel Messi dengan tiga gol dalam saingan kedua-dua pemain bagi merebut anugerah Pichichi sebagai penjaring gol terbanyak.

Bagaimanapun, Real terus dibelenggu kecederaan apabila Gareth Bale belum pasti dapat diturunkan menentang Villareal berikutan kecederaan buku lali akibat pelanggaran dengan Aaron Niguez hujung minggu lalu.

Ketiadaan pemain Wales itu memberi peluang kepada Jese Rodriguez untuk diturunkan manakala Luka Modric, James Rodriguez, Sergio Ramos dan Sami Khedira masih direhatkan akibat kecederaan jangka panjang.

Begitupun tugas Los Blancos dijangka lebih mudah apabila Villarreal juga tidak mampu menurunkan pasukan terbaik selepas menewaskan Red Bull Salzburg untuk mara ke pusingan ketiga Liga Europa, empat hari sebelum berkunjung ke Bernabeu.

Jurulatih Yellow Submarine, Marcelino berkata, selepas kemenangan 3-1 di Austria, kelmarin, pemain sama mungkin tidak akan bermain bagi membolehkan pemain yang kerap diturunkan berehat.

Selain itu, pemain sayap Russia yang semakin menyerlah, Denis Cheryshev tidak akan diturunkan sebagai pasukan pelawat kerana dipinjamkan Real.

Barcelona mempunyai peluang merapatkan jurang di puncak liga sekurang-kurangnya 24 jam apabila berkunjung ke Granada, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Februari 2015 @ 5:16 AM