Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Koleksi terkini Armani Junior oleh Giorgio Armani musim bunga/musim panas 2015 sesuai untuk si comel menggayakannya kala cuaca panas dengan sentuhan segar dan selesa.

Direka untuk kanak-kanak perempuan, lelaki dan bayi, ia mempunyai karakter menarik dengan elemen tersendiri.

Untuk bayi baru lahir hingga berusia 12 bulan, jenama ini mengekalkan gaya klasik dan tidak keterlaluan. Persalinan untuk bayi perempuan dilatari warna menyejukkan mata seperti putih, biru pastel, merah jambu orkid dan kuning terang.

Gaun dan romper paisley pula tampak elegan sama ada dengan cetakan atau sulaman. Selain beg nurseri, pelbagai aksesori sepadan bagi melengkap gaya termasuk ballerina dan topi.

Persalinan baju untuk bayi lelaki menawarkan elemen klasik Armani dengan warna ikonik untuk si comel lelaki seperti biru laut, biru dan putih untuk acara formal dan merah sebagai pakaian musim panas dalam gaya marin sebenar.

Antara ditawarkan termasuk romper dengan tali leher rama-rama, persalinan dua lapis dan pakaian bermain dengan vest.

Pilihan fabrik pula seperti seersucker, kemeja motif petak, jersi dengan motif paisley inspirasi dari koleksi dewasa. Antara barangan dalam koleksi itu termasuk beg tidur, jumpsuit, bodysut, bib dan topi.

Pakaian kanak-kanak perempuan Armani Juniormenampilkan gaya mewah dengan kepelbagaian warna serta corak berimpak tinggi yang dibahagikan kepada tiga tema iaitu Party Time, Girlie Folk dan Art Pop.

Bagi si hero kecil pula, warna neon menguasai elemen pakaian dengan siri Color Block menampilkan ciri urban dari motif tengkorak sehingga corak menggambarkan sukan dan muzik.

Tema Power Pastel pula mengekalkan gaya klasik dengan padanan warna pastel seperti krim, hijau laut, biru dan putih mata.

Antara yang disediakan termasuk jaket sentuhan cetakan mikro dan baju-T dengan elemen grafik yang memberi rasa ranggi pada si pemakai cilik ini.

Tema Sporting Club pula inspirasi koleksi dewasa direka untuk aktiviti santai menggunakan fabrik ringan dilengkapi perincian denim dan paisley. Tema Havana Days pula direka untuk si cilik menampilkan warna seperti merah delima dan biru vintaj dipadankan bersama tona panas seperti kuning air, hijau lumut dan tembakau.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Februari 2015 @ 5:04 AM