ANTARA burung yang dirampas. FOTO ihsan PERHILITAN
ANTARA burung yang dirampas. FOTO ihsan PERHILITAN
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Sebanyak 77 ekor burung pelbagai jenis dan seekor ayam hutan dirampas Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negera (PERHILITAN) Johor di dua kediaman berasingan di Felda Sri Ledang, Bukit Serampang dekat Muar, petang semalam.

Pengarah PERHILITAN Johor Hasnan Yusop berkata, serbuan dilakukan kira-kira 6.45 petang hasil daripada maklumat yang diterima daripada orang awam dan risikan yang dijalankan pihaknya.

"PERHILITAN menemui 40 burung bayan puling, 22 burung bayan nuri, empat burung serindit, empat burung murai batu dan seekor ayam hutan di kediaman pertama.

"Manakala, kami menemui dua burung bayan puling, seekor burung bayan nuri dan empat burung murai batu yang ditempatkan dalam sangkar di belakang kediaman kedua," katanya.

Menurut beliau, semua hidupan itu dikategorikan sebagai hidupan liar diperlindungi dan hidupan liar diperlindungi sepenuhnya, menyebabkan memiliki serta menyimpannya adalah satu kesalahan di Seksyen 60 serta Seksyen 68 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Februari 2015 @ 2:41 PM