PENGUNJUNG boleh merehatkan diri di Secret Garden.
Oleh Mohd. Sharumnisham Shahbudin
rencana@hmetro.com.my

Malaysia sememangnya negara bertuah kerana dianugerahkan pelbagai khazanah alam yang menarik dan unik seperti gua batu kapur.

Gua Mulu, Gua Niah dan Gua Tempurung adalah gua yang terbentuk jutaan tahun dulu yang menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negeri.

Di samping gua yang memberikan cabaran dan laluannya yang penuh misteri terdapat juga gua yang lebih santai dan mudah untuk diteroka, tetapi tetap memberikan ­pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan keindahan semula jadi mempesonakan.

Di Gua Kelam misalnya, kita tidak memerlukan lampu suluh atau pakaian yang sesuai untuk dijelajah, cukup sekadar pakaian biasa saja.

Gua yang terletak di Hutan Siman Wang Mu, Perlis Indera Kayangan ini asalnya sebuah laluan yang ditemui oleh seorang pengusaha lombong bijih timah berbangsa Inggeris dan kemudian menggunakannya untuk membawa keluar bijih pada 1935.

Tinggalan aktiviti perlombongan yang bersejarah ini masih disimpan dan dapat dilihat di Galeri Gua Kelam yang kini bawah pengurusan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis.

Kini, pelbagai kemudahan dibangunkan oleh pihak terbabit agar memberi kemudahan dan lebih tarikan kepada pengunjung.

Titi gantung sepanjang 370 meter dibina merenta­ngi gua berkenaan bagi kegunaan orang ramai yang mengunjunginya. Seluruh gua turut diterangi dengan lampu yang membantu memberikan sentuhan lebih cantik.

Lebih menarik, terdapat anak sungai yang mengalir di sepanjang bawah titi itu.

Keadaan yang lembap, bunyi titisan air dari dinding gua dan deruman air yang mengalir di bawah memberikan satu panorama dan melodi yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Anak sungai yang mengalir keluar menjadi pilihan pengunjung untuk bermandi-manda dan berkelah bersama keluarga atau teman.

Di sepanjang laluan, kita berpeluang melihat pelbagai saiz dan bentuk batu kapur yang terbentuk jutaan tahun dulu, termasuk stalaktit yang menaungi bumbung gua.

Malah, ada batu yang berbentuk seperti cendawan gergasi yang menjadi tarikan utama gua ini.

Di penghujung laluan pula, pelawat akan disajikan taman landskap yang menarik dan sesuai untuk beriadah atau berkelah. ‘Secret Garden Gua Kelam’ ini seolah-olah satu anugerah kepada pengunjung selepas penat meneroka gua.

Gua Kelam terletak 36 kilometer dari Kangar serta tidak jauh dari Padang Besar dan Wang Kelian.

Sekiranya berhajat membeli-belah di Padang Besar atau Wang Kelian, jadikan Gua Kelam ini sebagai satu pakej agar dapat berehat sebentar selepas puas berbelanja di sempadan negara.

Anugerah tidak ternilai ini perlu terus dipelihara agar generasi kita yang akan datang dapat turut sama menikmati keindahannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Februari 2015 @ 11:58 AM