Zamzamzairani (kanan) dan Pengerusi TM, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob (tengah) bersama Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan TM, Datuk Bazlan Osman ketika majlis pengumuman keputusan kewangannya, semalam.

Kuala Lumpur: Telekom Malaysia Bhd (TM) meletakkan indeks petunjuk prestasi (KPI) pertumbuhan perolehan antara empat hingga 4.5 peratus tahun ini berbanding RM11.24 bilion yang dicapai pada 2014 didorong prestasi perniagaan yang memberangsangkan terutama peningkatan jumlah pelanggan.

Dalam tahun kewangan TM berakhir 31 Disember 2014, konglomerat telekomunikasi itu mencatatkan pertumbuhan perolehan 5.7 peratus daripada RM10.63 bilion yang direkodkan dalam tempoh sama 2013, dipacu oleh peningkatan hasil Internet, data dan perkhidmatan lain mewakili 69 peratus daripada hasil kumpulan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa berkata, TM mengekalkan kedudukan sebagai peneraju jalur lebar di Malaysia dengan mencatatkan peningkatan pelanggan 2.2 juta.

Beliau berkata, UniFi terus menyaksikan pertumbuhan positif 14.8 peratus dengan 750,000 pelanggan setakat ini mewakili kadar langganan kira-kira 45 peratus.

“TM mencatatkan nisbah perbelanjaan modal (Capex) yang positif pada 16.3 peratus berbanding 17.5 peratus pada tahun kewangan 2013. Jumlah Capex yang dibelanjakan pada 2014 RM1.84 bilion.

“Pada tahun ini kami memperuntukkan Capex 20 peratus daripada perolehan yang merangkumi perbelanjaan projek mega iaitu pembangunan Projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi Fasa 2 (HSBB2) dan Projek Jalur Lebar Pinggir Bandar (SUBB) dengan usaha sama pihak kerajaan,” katanya pada taklimat prestasi kewangan TM 2014 di sini, semalam.

Dalam taklimat itu, TM mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat 5.7 peratus dari tahun ke tahun kepada RM1.11 bilion berbanding RM1.05 bagi tempoh sama tahun lalu hasil operasi yang lebih tinggi.

Kelmarin, TM dianugerahkan projek HSBB2 dan SUBB dengan pelaburan masing-masing RM1.8 bilion dan RM1.6 bilion. Kedua-dua projek itu berlangsung selama 10 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Februari 2015 @ 9:57 AM