London: Arsene Wenger (gambar) menyelar pemain Arsenal yang naif dan ‘membunuh diri’ apabila kelemahan benteng membenarkan AS Monaco meraih kemenangan menakjubkan 3-1 pada perlawanan pertama pusingan kedua Liga Juara-Juara.

Pasukan Wenger diramal tidak bermasalah menyingkirkan kelab Perancis itu dan layak ke suku akhir pertandingan kelab elit Eropah itu buat kali pertama sejak 2010.

Sebaliknya mereka berada di ambang kekalahan kelima berturut-turut pada pusingan kedua berikutan kemerosotan dahsyat di Stadium Emirates, awal pagi semalam.

Jaringan Geoffrey Kondogbia pada babak pertama disusuli penamat tenang bekas penyerang Tottenham, Dimitar Berbatov dan sekalipun Alex Oxlade-Chamberlain membalas satu gol buat Arsenal pada minit ke-90, Yannick Ferreira-Carrasco masih mempunyai masa menjaringkan gol ketiga Monaco sekali gus menyukarkan Gunners pada perlawanan kedua 17 Mac ini.

Pengurus berusia 65 tahun dan bekas jurulatih Monaco itu jelas berang dan tidak teragak-agak mengkritik pemainnya.

Beliau mengecam permainan tidak berhati-hati pertahanan Arsenal dan sikap kurang berjuang pemain lain

“Ia malam yang teruk. Kami terlepas peluang dan agak membunuh diri secara bertahan.

“Kami tidak bernasib baik ketika lawan memperoleh gol sulung selepas cubaan pemain tertampan pemain kami, tapi jaringan kedua dan ketiga memang membunuh diri. Kami tidak boleh melepaskan gol ketiga sebegitu.

“Tiada keseimbangan dan apabila kami hilang bola, kami terdedah kepada lawan. Saya amat kecewa dengan kenaifan pertahanan kami.

“Secara mental kami tidak cukup bersedia bagi perlawanan ini dan kami dihukum kerananya.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Februari 2015 @ 9:20 AM