PEMAIN dari Kelab Jebat Racquet Melaka dan Kelab Badam ZTC Muar bergambar kenangan.
Oleh Mohamad Yatim Latip
sukan@hmetro.com.my


Melaka: Kelab Jebat Racquet Melaka mencatat kemenangan awal musim apabila menumpaskan Kelab Badam ZTC Muar 5-3 pada aksi persahabatan di Dewan Maxx, Tanjung Agas, Muar, baru-baru ini.

Sebanyak 16 beregu menyertai perlawanan itu bertujuan mengeratkan silaturahim kedua-dua pihak.

Pengurus Kelab Jebat Racquet Melaka Mohd Dzahir Ismail berkata, perlawanan itu dapat menguji pemainnya yang mampu diketengahkan pada kejohanan penting awal Jun ini di AK Sport Center, Ayer Keroh.

Beliau puas hati dengan aksi pemain kedua-dua kelab yang berusaha mencipta nama dalam sukan badminton Melaka.

“Kami akan menentang Kelab Badam Melaka pertengahan Mac ini membabitkan 10 beregu dengan 20 ahli Kelab Jebat Racquet Melaka mengambil bahagian.

“Ini sekali gus memberi peluang pada mereka menyertai perlawanan persahabatan sepanjang tahun ini,” katanya.

Hadir sama Penolong Pengurus Norazman Shamsuri dan Bendahari Abu Bakar Abdullah.

Mohd Dzahir berkata, pihaknya berharap supaya semua ahli kelab yang berdaftar hadir pada sesi latihan Isnin dan Rabu setiap minggu sebagai persiapan menghadapi kejohanan dalam mahupun luar Melaka.

Katanya, kelab itu juga kini giat mencari pelapis baru dan muda untuk menyertai kelab berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Februari 2015 @ 8:58 AM