Oleh Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my


Georgetown: Seorang nelayan warganegara Indonesia yang mendapat taraf pemastautin tetap dikhuatiri lemas ketika memukat ikan dalan kejadian di perairan Muka Head, Teluk Bahang, 6 petang semalam.

Mangsa Palman Sulaiman, 60, dipercayai terjatuh ke dalam laut ketika sedang menarik keluar pukatnya.

Ketua Pegawai Penguatkuasa, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 2 Kapten Kamaruszaman Abu Hassan berkata, ketika kejadian mangsa dipercayai menarik pukatnya sebelum kakinya tersangkut pada pukat dah terjatuh ke dalam laut.

Beliau berkata, Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) dilancarkan selepas pihaknya mendapat maklumat daripada seorang pengusaha bot.

"Sehingga jam 5 petang tadi mangsa masih belum ditemui usaha mengesan lelaki itu dilakukan di sekitar lokasi dia dilaporkan terjatuh.

"Keluasan kawasan operasi membabitkan jarak 12 batu nautika dari pantai Muka Head hingga ke perairan Pulau Kendi," katanya.

Operasi SAR turut membabitkan Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 7:21 PM