POLIS menunjukkan parang dan pisau dipercayai diguna ketika kejadian.
Oleh Mohd Hasbi Sidek

Klang: Sembilan individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes tetak di pasar raya di Klang, Jumaat lalu ditahan polis, awal pagi semalam.

Semua suspek, masing-masing enam lelaki dan tiga wanita warga Indonesia itu ditahan di premis di Jalan Goh Hock di sini, kira-kira 12.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong berkata, penahanan mereka bagi membantu siasatan kes berkenaan.

"Dalam serbuan itu kami turut merampas tiga parang dan satu pisau dipercayai digunakan ketika kejadian.

"Mereka yang berusia 24 hingga 45 tahun itu direman 14 hari bermula hari ini," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu, mangsa yang juga warga Indonesia berusia 31 tahun parah selepas ditetak di beberapa bahagian badan.

Sebelum itu, dua kumpulan lelaki dikatakan bertengkar di pusat karaoke dalam pusat beli belah itu sehingga berlanjutan di hadapan sebuah pawagam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Februari 2015 @ 1:59 PM