Oleh Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengambilalihan kepentingan saham tunai dalam koperasi oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dilihat akan menjejaskan pendapatan koperasi bagi tempoh singkat dan mendatangkan kerugian dalam jangka panjang.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, situasi terbabit tidak dapat dikawal kerana ia tidak menyalahi undang-undang dan tiada sebarang akta diwujudkan untuk menangani perkara itu.

“Kami faham proses terbabit adalah sebahagian daripada globalisasi yang mana syarikat boleh melakukan langkah itu melalui penggabungan, pemilikan dan pengambilalihan, namun kurang gembira kerana terdapat beberapa koperasi berpotensi diambil oleh sesetengah syarikat besar,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Program Informasi Produk dan Perkhidmatan ANGKASA di sini, semalam.

Program terbabit dianjurkan ANGKASA untuk memberikan informasi kepada koperasi mengenai isu terkini termasuk taklimat GST, peluang perniagaan bersama Angkasa, Taklimat Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia (PPA1M) dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) serta Skim Perlindungan Kredit Koperasi (SPKK) dan Sistem Pelaporan Kredit ANGKASA, Ramci (SPeKAR).

Beliau berkata situasi pengambilalihan saham tunai koperasi itu berlaku sejak akhir-akhir ini di mana ia dilakukan sesetengah syarikat besar bertujuan untuk mempelbagaikan cabang perniagaan masing-masing dengan menggunakan kelebihan aset koperasi.

“Saya jangka pendapatan bagi sektor koperasi akan mengalami penurunan pada 2015 ekoran situasi terbabit di mana ia dilihat tidak adil bagi sektor ini.

Oleh itu, saya lihat keperluan untuk membenarkan sektor koperasi mengambil alih kepentingan saham tunai dalam syarikat besar atau GLC jika sesebuah koperasi itu mempunyai kewangan yang kukuh,” katanya.

Dalam perkembangan lain ANGKASA menyasarkan untuk mendaftarkan kira-kira 5,000 koperasi yang layak berdaftar dalam sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST) memandangkan hanya terdapat kira-kira 380 koperasi yang berdaftar buat masa ini.

“Kami akan berusaha untuk mendaftarkan seberapa banyak koperasi sebelum pelaksanaan GST,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Februari 2015 @ 9:48 AM