Maguindanao: Sekumpulan lelaki bersenjata membakar rumah yang pernah menjadi tempat persembunyian militan warga Malaysia, Zulkifli Hir di Mamasapano malam kelmarin,

Menurut polis, kejadian itu berlaku beberapa jam selepas Lembaga Siasatan mengunjungi Tukanalipao di Mamasapano untuk melihat sendiri lokasi pertempuran berdarah antara komando polis dengan pejuang Moro pada 25 Januari lalu.

Ketua Polis Mamasapano, Reggie Abellara berkata, rumah Zulkifli - lebih dikenali dengan panggilan Marwan - dibakar kumpulan lelaki bersenjata raifal dan pelancar grenad.

“Kami mendapat pengesahan daripada penduduk setempat,” katanya.

Sementara itu, jurucakap tentera berkata, saksi melihat penyerang menggunakan tempurung kelapa dan minyak tanah untuk membakar rumah Marwan.

Marwan dibunuh dalam serangan hendap komando polis pada Subuh hari berkenaan.

Bagaimanapun, berlaku pertempuran dengan pasukan bersenjata setempat menyebabkan 44 anggota keselamatan mati. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Februari 2015 @ 8:58 AM