Vienna: Rakhat Aliyev (gambar), bekas menantu presiden Kazakhstan yang bertukar menjadi penentangnya, ditemui mati di dalam penjara di Austria kerana membunuh diri, menurut jurucakap mahkamah semalam.

Disember tahun lalu, Aliyev dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh dua pegawai bank pada 2007.

Kazakhstan berulang kali memohon dia diekstradisi berkait dengan kes itu.

Aliyev yang juga bekas duta Kazakhstan ke Austria sebelum menjadi pengkritik lantang Presiden Nursultan Nazarbayev, mengecam tuduhan itu dan mendakwanya bermotifkan politik.

Dia ditahan sejak Jun tahun lalu apabila menyerah diri kepada pihak berkuasa Austria.

Agensi berita Austria memetik pegawai penjara sebagai berkata, mayat Aliyev ditemui pada 7.20 pagi semalam (waktu tempatan) dalam bilik kurungan tempat dia ditahan bersendirian di penjara Josefstadt di Vienna.

Pegawai itu berkata, Aliyev menggantung dirinya dalam bilik mandi.

Kazakhstan sebelum ini berusaha meminta Austria mengekstradisinya tetapi Vienna menolaknya dua kali kerana rekod hak asasi negara itu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Februari 2015 @ 7:42 AM