KAD Agro Visa Debit-i di tawarkan pada semua pemilik akaun simpanan Agrobank.
Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri
dayana@hmetro.com.my

Putrajaya: Agrobank meletakkan sasaran untuk mencatatkan sejuta pelanggan baru dalam tempoh tiga tahun terutamanya dengan pengenalan kad Agro Visa Debit-i bagi memudahkan urusan transaksi tanpa tunai.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Othman berkata, Agrobank adalah bank pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang memperkenalkan produk kad debit untuk usahawan berasaskan prinsip syariah.

“Kad ini juga kad debit yang pertama seumpamanya berasaskan syariah untuk golongan peniaga, namun ia juga terbuka untuk kegunaan pemegang akaun simpanan individu,” katanya selepas pelancaran yang disempurnakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini, semalam.

Agrobank menjangkakan jumlah transaksi juga meningkat antara 10 hingga 15 peratus dengan kadar penggunaan dalam kalangan pemegang kad sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh sebulan.

“Melalui kad debit terbaru ini, kami menjangkakan jumlah transaksi meningkat di mana peniaga kini tidak perlu lagi membawa wang tunai untuk urusan pembelian barang.

“Ia secara tidak langsung dapat mengurangkan penggunaan tunai, pada masa sama memberi peluang untuk mereka mendapatkan produk dari luar negara dengan lebih mudah memandangkan jenama Visa diterima pakai di seluruh dunia,” katanya.

Setakat ini, terdapat lebih 20,000 kad Agro Visa Debit-i dikeluarkan dan ia dijangka mencapai angka satu juta dalam tempoh tiga tahun ini.

“Buat masa ini, pemegang akaun simpanan Agrobank sekitar 1.9 juta dengan pengguna aktif mencecah angka sejuta. Daripada jumlah berkenaan, 750,000 pelanggan adalah pemegang kad ATM dan kami memastikan semua pengguna ini dapat bertukar ke Agro Visa Debit-i secara berperingkat.

“Malah, lebih 300,000 pelanggan terdiri daripada pemilik perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.

Dalam pada itu, Wan Mohd Fadzmi berkata, pihaknya akan giat meluaskan perkhidmatan Perbankan Ejen pada tahun ini dengan tumpuan diberikan di kawasan luar bandar khususnya Sabah dan Sarawak.

“Perkhidmatan ini baru diperkenalkan sejak Disember tahun lalu dan sehingga kini terdapat 22 cawangan Perbankan Ejen.

“Kami memilih lokasi yang mempunyai kaitan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) seperti Agro Bazar atau premis kelolaan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) memandangkan fokus utama kami untuk golongan petani yang berada di luar bandar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Februari 2015 @ 7:31 AM