ANGGOTA polis trafik mengangkat tubuh mangsa. FOTO Muhammad Hatim Abd Manan
Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz dan Arifin Salleh
am@hmetro.com.my

Alor Gajah: Dua lelaki dipercayai penjenayah warga asing berusia antara 20 hingga 30-an maut selepas dilanggar dua treler apabila cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis di Kilometer 216.2 Lebuhraya PLUS, di sini, kira-kira 10 malam tadi.

Dua suspek terbabit bersama dua lagi rakan mereka dikatakan cuba melintas lebuh raya selepas memberhentikan kenderaan mereka di lorong kanan lebuh raya.

Ketua Polis Alor Gajah, Superintendan Muhammad Ismail Muhammad Yusuf, berkata dua rakan mereka dapat menyeberangi lebuh raya itu tetapi mangsa terbabit gagal melintasnya dan dirempuh dua treler.

"Mereka maut di tempat kejadian. Polis masih menjalankan siasatan lanjut mengapa suspek melarikan diri ketika anggota polis hendak melakukan pemeriksaan," katanya.

Terdahulu, katanya, empat lelaki yang berada di dalam kereta itu ditahan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) untuk pemeriksaan di pekan Alor Gajah.

Bagaimanapun, katanya, mereka bertindak agresif dengan merempuh motosikal seorang daripada anggota URB menyebabkan anggota terbabit mengalami kecederaan.

Berikutan itu, katanya, sepasukan anggota polis peronda mengejar kenderaan suspek dan membuat kepungan di Plaza Tol Alor Gajah dan Ayer Keroh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Februari 2015 @ 2:06 AM