Agensi

Denpasar: Dua warga Australia Myuran Sukumaran dan Andrew Chan mungkin menjalani hukuman mati minggu ini.

Ketua pejabat pendakwa raya Bali Momock Bambang Samiarso dipetik sebagai berkata demikian oleh portal berita Australia, news.com.au, semalam.

Pihak berkuasa Indonesia sebelum ini berkata, hukuman ke atas kedua-dua lelaki itu ditangguhkan selama sebulan.

Menurut Momock, pihaknya bagaimanapun masih menunggu isyarat dari Nusakambangan untuk menghantar kedua-dua warga Australia yang dihukum mati pada 2006 selepas didapati bersalah cuba menyeludup keluar dadah dari Bali ke Australia.

Mereka kini ditahan di Penjara Kerobokan di Bali.

“Kemungkinan besar mereka akan menjalani hukuman tembak minggu ini. Kita masih menunggu isyarat dari Nusakambangan untuk memindahkan mereka,” kata Momock.

Menurutnya, dia berbincang dengan pihak berkuasa Nusakambangan mengenai penghantaran kedua-dua lelaki itu tetapi tidak memberikan butir lanjut mengenainya.

Sementara itu, pendakwa raya HM Prasetro berkata, persiapan untuk melaksanakan hukuman mati terhadap Sukumaran dan Chan masih dilakukan.

Penghantaran kedua-dua pesalah dadah itu ke Nusakambangan sebelum ini ditunda kerana masalah teknikal.

Dalam perkembangan berkaitan tiga pesawat Sukhoi SU-30MKI dilapor tiba di Lapangan Terbang Ngurah Rai dari Lapangan Terbang Sultan Hasanuddin di Makassar, dipercayai akan digunakan untuk mengiringi pesawat yang membawa Sukumaran dan Chan ke Nusakambangan.

Kedua-duanya kelmarin merayu Presiden Joko Widodo (Jokowi) supaya menarik balik hukuman itu.

Isu hukuman mati ke atas pesalah dadah di Indonesia mengeruhkan hubungan diplomatik antara negara berkenaan dengan dengan Australia dan Brazil.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Februari 2015 @ 7:31 AM