Oleh Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Projek pembangunan pelabuhan Tok Bali di Pasir Puteh, Kelantan dijangka bakal menarik pelaburan sehingga RM1 bilion dalam tempoh tiga tahun.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, MITI sudah meluluskan projek terbabit pada 7 Januari 2015.

Katanya, setakat ini terdapat kira-kira 100 syarikat yang berpotensi untuk melabur dalam projek berkenaan dan projek itu dijangka akan memberi manfaat kepada kawasan sekitarnya dan juga Kelantan secara keseluruhannya.

“Tok Bali mempunyai potensi besar sebagai pangkalan untuk menyediakan perkhidmatan berkenaan kerana lokasinya strategik berikutan jaraknya ke Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand (MTJDA).

“Tok Bali Supply Base Sdn Bhd (TBSB), pengendali pelabuhan terbabit sudah melabur sebanyak RM90 juta tahun lalu dan tahun ini dianggarkan RM100 juta akan dibelanjakan untuk pembangunan projek itu,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Mustapa berkata, TBSB sedang berunding dengan syarikat yang pakar dalam perpaipan berlapis di pelabuhan dengan anggaran pelaburan kira-kira RM340 juta dalam tempoh dua tahun akan datang.

Beliau berkata, syarikat itu akan menduduki kawasan berkeluasan 32.37 hektar tanah pelabuhan itu bagi tujuan pembangunan kemudahan bekalan paip salutan khas untuk rantau ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi TBSB Jim Iler berkata, pembangunan pangkalan bekalan itu merangkumi tiga fasa iaitu fasa pertama dan kedua bertumpukan perkhidmatan kepada sektor minyak dan gas (O&G) manakala ketiga adalah pelabuhan.

“Kami berhasrat menjadi satu pusat sehenti yang menyediakan perkhidmatan kepada syarikat minyak dan gas yang beroperasi di Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand, North Malay Basin dan Kawasan Perjanjian Komersial Malaysia-Vietnam,” katanya.

Iler berkata, projek itu, termasuk pembinaan pelabuhan, dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Pada masa sekarang, Pangkalan Bekalan Tok Bali itu dilengkapi lima kemudahan untuk kapal berlabuh, gudang seluas 5,000 meter persegi, pejabat, bahan api serta air.

Pangkalan Bekalan Tok Bali itu adalah yang ketiga dilesenkan di Malaysia selepas kemudahan sama di Kemaman dan Labuan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Februari 2015 @ 7:12 AM